Tumpuan :
Nasional

Johor sedia khidmat kaunseling kepada keluarga Cikgu Istiqomah

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor menyediakan khidmat kaunseling kepada ahli keluarga mangsa pembunuhan kejam Istiqomah Ahmad Rozi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Khairin-Nisa Ismail@Md On berkata ia bagi membantu mengembalikan semangat keluarga khususnya anak-anak guru berkenaan.

“Anak-anak arwah yang masih kecil memerlukan sokongan moral dan mental untuk menghadapi masa depan yang penuh cabaran tanpa ibu mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Terdahulu, Khairin-Nisa, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin dan Ahli Dewan Undangan Negeri Tiram Azizul Bachok hari ini meluangkan masa menyantuni keluarga Istiqomah.

“Saya berdoa agar mereka diberikan ketabahan dan kekuatan jiwa serta semoga keadilan ditegakkan dengan pesalah dihukum setimpal dengan perbuatan keji tersebut,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ashari Abu Samah dalam kenyataan mengesahkan mayat tanpa kepala dan tangan yang ditemukan di tepi jalan di kawasan kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang, Alor Gajah, Melaka pada 31 Disember tahun lepas ialah Istiqomah, 33, yang dilaporkan hilang pada 27 Disember 2023.

Polis kini menahan reman seorang lelaki bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini