KUALA LUMPUR: Johor menjadi negeri terbaru dilanda banjir, manakala keadaan bencana itu di Perak telah pulih sepenuhnya, hari ini.
Di Johor, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Balai Raya Batu Badak, Segamat, jam 2 petang tadi dengan menempatkan 11 mangsa banjir daripada empat keluarga.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, dalam satu kenyataan berkata paras air tiga sungai di daerah Tangkak dan Segamat telah mencecah tahap waspada.
Sungai berkenaan ialah Sungai Kesang di Telok Rimba dan Sungai Tangkak di Kampung Seri Ma’amor, Tangkak, serta Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat.
Sementara itu di Melaka, jumlah mangsa banjir menurun kepada 231 orang daripada 64 keluarga, setakat jam 8 malam tadi, berbanding 264 mangsa (71 keluarga) pada sebelah pagi.
Sekretariat Jawatankuasa Bencana Negeri Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa seramai 181 mangsa banjir ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Minyak 2, PPS Kompleks Japerun Pantai Kundur (35) dan PPS SK Taman Bukit Rambai (15).
Di Kelantan pula, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor, Bachok, kekal 40 orang (11 keluarga) pada malam ini.
Berdasarkan maklumat portal InfoBanjir setakat jam 8 malam tadi pula, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang mencatat bacaan 8.73 meter, melebihi paras amaran 8 meter.
Di Perak, satu-satunya PPS iaitu Dewan Orang Ramai Simpang Halt di daerah Larut, Matang dan Selama yang menempatkan 68 mangsa banjir (23 keluarga) pagi tadi, telah ditutup sepenuhnya pada petang, menurut kenyataan Sekretariat JPBN Perak.
Bagaimanapun, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan hujan melanda semua daerah di Perak pada malam ini, termasuk di Larut, Matang dan Selama; Kerian; Manjung; Perak Tengah; Hulu Perak; Bagan Datuk; Hilir Perak; Kuala Kangsar; Kinta; Kampar; Batang Padang; dan Muallim. —BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.