ISKANDAR PUTERI: Johor sedang meneliti cadangan perubahan waktu bekerja sektor awam di negeri ini kepada empat hari setengah.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata, ia susulan pelaksanaan cuti hujung minggu yang diubah semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.
Bagi tujuan itu katanya, kerajaan negeri kini sedang giat melakukan penambahbaikan bagi mempertingkatkan produktiviti dan menambahbaik sistem penyampaian perkhidmatannya.
Beliau berkata, ia termasuk memperkasa perkhidmatan digital dengan penambahan urusan yang boleh dilaksanakan secara atas talian atau online.
“Kerajaan Johor juga akan memanjangkan waktu operasi perkhidmatan kaunter yang kritikal untuk terus beroperasi termasuk pada waktu rehat di antara jam 1 tengah hari sehingga 2 petang.
“Penyeragaman waktu operasi perkhidmatan kaunter di semua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga akan dilaksanakan.
“Sekiranya usaha-usaha penambahbaikan itu berjalan lancar, Insya-Allah kerajaan negeri akan mempertimbangkan cadangan perubahan waktu bekerja kepada empat hari setengah tanpa mengurangkan keseluruhan tempoh jam bekerja bagi sektor awam.
“Bagaimanapun, ia perlu mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan restu Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2024, di Bangunan Sultan Ismail, hari ini, memetik laporan Harian Metro.
Sebelum ini, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilaporkan melaksanakan waktu bekerja dalam seminggu yang paling singkat di dunia iaitu hanya empat hari setengah seminggu, berkuat kuasa 1 Januari 2022.
Di bawah langkah itu, waktu kerja antara Isnin hingga Khamis bermula 7.30 pagi hingga 3.30 petang manakala bagi hari Jumaat, waktu bekerja bermula pada 7.30 pagi hingga 12 tengah hari.
Bahkan bagi pekerja kerajaan, mereka mempunyai pilihan untuk bekerja dari rumah pada Jumaat dan menyusun jadual waktu bekerja mengikut masa yang fleksibel.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.