Oleh: Zahir Senapiah
KOTA TINGGI: Kerajaan negeri Johor tidak menolak kemungkinan akan melakukan catuan bekalan air bersih di beberapa daerah sekiranya tiada hujan hingga akhir bulan depan.
Ia susulan tiga empangan di dua daerah di negeri itu tidak menunjukkan peningkatan paras takungan air dan bekalan yang ada hanya mampu bertahan selama 55 hari sekiranya paras takungan di bawah paras kritikal.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastuktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kerajaan negeri juga akan menimbang untuk melakukan pembenihan awan sekiranya keadaan semakin meruncing.
Katanya, tiga empangan terbabit ialah empangan Bekok dan Sembrong Barat di Batu Pahat dan empangan Machap di Kluang.
Mengikut rekod yang dikemaskini Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) pada 25 Mac lalu, Empangan Bekok mencatat takungan semasa pada paras 15.81 meter berbanding paras kritikal 12.69 meter. Empangan Sembrong Barat pula mencatat paras semasa 8.32 meter berbanding 7.36 meter paras kritikal.
Sementara empangan Machap di Kluang mencatatkan paras takungan semasa pada 14.88 meter berbanding paras kritikal 14.84 meter.
Satu lagi empangan yang mencatat paras semasa yang rendah adalah empangan Gunung Ledang iaitu pada 306 meter berbanding paras kritikal 305.04 meter.
Sekiranya paras bekalan berada di bawah paras kritikal bekalan yang ada hanya mampu bertahan selama 11 hari.
“Sekiranya hingga 30 April tak ada hujan yang turun, kita jangkakan kita ada lebih kurang 55 hari. Kalau 30 April masih tak ada hujan tapi empangan tu masih boleh digunakan tapi setakat 55 hari. Sama ada pembenihan awan walaupun kita tahu dia bukanlah solution yang terbaik dan mungkin terpaksa ada pengolahan semula bekalan air kita ni” katanya selepas melawat projek tebatan banjir di Kota Tinggi, pagi tadi.
Tambahnya, 12 empangan lagi di negeri itu masih berada pada tahap yang terkawal dan langkah penggunaan air secara optimum telah diaktifkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Bukit Pasir itu menambah, hingga kini sebanyak 150 lokasi sedang dipantau bagi mengelakkan berlaku gangguan bekalan air sempena sambutan Aidifitri 8 hari lagi.
Antara perancangan yang dilakukan ialah menyediakan tangki-tangki air statik di kawasan terbabit bagi membolehkan bekalan air bersih disalurkan kepada orang ramai menggunakan lori.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.