comscore
Tumpuan :
Nasional

Johor kenal pasti 874 ‘hotspot’ banjir – MB

Foto hiasan

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor mengenal pasti 874 ‘hotspot’ banjir di seluruh negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Justeru, beliau mengarahkan setiap aset, logistik dan sistem amaran awal bencana diperiksa supaya berfungsi dengan baik serta dalam keadaan siap siaga terutamanya apabila berlaku banjir.

Beliau berkata, menerusi Mesyuarat Penyelarasan Persediaan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dan Pencemaran Sungai di Negeri Johor, terdapat beberapa pelan tindakan dibincangkan bagi menghadapi MTL serta langkah mitigasi terperinci jika banjir mula melanda.

“Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) boleh memberi amaran tiga hari sebelum hujan lebat yang berterusan di daerah masing-masing.

“Oleh itu, setiap pegawai daerah sudah diminta membuat Mesyuarat Penyelarasan Bencana dalam tempoh 24 jam selepas mendapat amaran tersebut,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook malam tadi.

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri turut mencadangkan supaya diadakan program gotong-royong membersihkan saliran, longkang dan parit di setiap daerah dan kampung, terutamanya di tempat yang kerap berlaku banjir kerana ia mampu mengurangkan risiko air naik secara mendadak.

Menurutnya, MetMalaysia mengeluarkan kenyataan bahawa MTL 2023/2024 dijangka bermula pada esok dan berterusan hingga Mac 2024.

Sementara itu, katanya, mesyuarat turut membincangkan isu pencemaran sungai antaranya di Sungai Tebrau, Sungai Skudai, Sungai Kim Kim dan Sungai Selangkah yang perlu diberi perhatian segera agar masalah tersebut dapat diatasi dengan baik.

“Beberapa langkah sudah diambil, namun saya meminta semua pihak serta seluruh Bangsa Johor untuk sama-sama kita jaga kebersihan sungai kerana kebersihan mencerminkan kehebatan dan mentaliti bangsanya.

“Semoga segala usaha ini membuahkan hasil, supaya seluruh Bangsa Johor mendapat manfaatnya,” katanya. – BERNAMA

|ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini