Tumpuan :
Nasional

Johor keluarkan fatwa ajaran GISBH sesat

Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad pada sidang media selepas merasmikan Seminar Pendidikan Fatwa Negeri Johor, Cabaran Ancaman Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).

Oleh: Zahir Senapiah

BATU PAHAT: Kerajaan negeri Johor mengeluarkan fatwa ajaran, fahaman dan pegangan ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad berkata keputusan itu dibuat selari dengan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang mendapati ia bercanggah dengan Islam.

Beliau berkata, susulan itu, Jabatan Mufti Negeri Johor kini dalam proses untuk mewartakan keputusan yang diputuskan supaya tindakan penguatkuasaan boleh diambil terhadap pengikut kumpulan itu.

Katanya, fatwa ini telah dipersembahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan baginda menitahkan agar menguatkuasakan fatwa berkenaan.

“Kita dah buat keputusan terhadap GISBH berdasarkan kepada keputusan MKI di peringkat kebangsaan yang memutuskan sesuatu keputusan, pandangan hukum sebagaimana GIBSH bercanggah dengan Islam,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Seminar Pendidikan Fatwa Negeri Johor, Cabaran Ancaman Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).

Sebelum ini, Pulau Pinang, Selangor, Sabah, Perlis, Pahang dan Melaka telah menfatwakan ajaran GISBH adalah sesat dan menyeleweng.

Yahya turut memaklumkan, Jabatan Mufti turut memutuskan ajaran Qardiani yang diasaskan Mirza Ghulam Ahmad dari India juga menyeleweng dari ajaran Islam.

Katanya, ajaran itu pernah disebarkan di negeri ini pada era 60-an namun kian berkembang dengan disertai pengikut baharu.

“Memandangkan ada cubaan untuk hidupkan semula ajaran ini, jadi kita mengambil tindakan sewajarnya.

“Antara ciri-ciri penyelewengan ajaran ini adalah pengasasnya mendakwa dia sebagai Nabi, mendakwa menerima wahyu, mengaku sebagai Imam Mahdi dan tidak percaya syurga dan neraka,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini