KLUANG: Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor akan mengeluarkan fatwa mengenai kepercayaan dan ajaran pengikut dalam GISBH Holdings Sdn Bhd dalam masa terdekat.
Exco Hal-Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, fatwa akan dikeluarkan selepas kajian dijalankan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri dan mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.
“Di Johor, ada kaedah dan tatacaranya. Jawatankuasa Fatwa Negeri akan membuat kajian dan ketetapan sebelum nanti diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim,” katanya.
Beliau ditemui selepas menghadiri kenduri rakyat sempena kempen calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussein Syed Abdullah di Kampung Tengah, petang tadi
Hari ini Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan ajaran GISBH mempunyai unsur ajaran sesat khususnya batiniah.
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata ajaran yang dibawa kumpulan itu adalah kesinambungan ajaran al-Arqam yang telah difatwakan sesat.
Mohd Fared menambah, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sentiasa memantau tiga madrasah dan dua pusat asuhan yang ada kaitan dengan pertubuhan itu di Johor.
“Setakat ini, tiada aduan baru diterima. Namun pemantauan dilakukan di tiga madrasah iaitu di Segamat, Muar dan Tangkak,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.