Oleh Raja Nurul Antasha Raja Zaman
JOHOR BAHRU: Johor bercadang membuka pusat pemprosesan visa China bagi memudahkan proses permohonan visa pengembara itu dalam usaha meningkatkan kemasukan pelancong negara itu.
Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor, K. Raven Kumar berkata, pihaknya telah menyuarakan perkara itu kepada Kerajaan Persekutuan.
Cadangan yang masih di peringkat perbincangan itu memerlukan penilaian menyeluruh.
“Kami sedang berbincang dengan Kedutaan China untuk membuka satu pusat pemprosesan visa di sini bagi memudahkan orang ramai melakukan perjalanan antara Johor dan China.
“Kami juga telah membuat permintaan ke peringkat persekutuan kerana ia bukan di bawah bidang kuasa kami.” katanya selepas menyambut ketibaan 110 pelancong dari Guangzhou, China di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor pagi tadi.
Tambah Raven Kumar, pada masa ini terdapat tiga penerbangan antara Guangzhou dan Johor setiap minggu, namun kekerapan penerbangan itu mungkin akan ditambah kelak.
“Jika dahulu pelancong China perlu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau Singapura untuk ke Johor, namun dengan ada penerbangan terus Johor – China akan memudahkan mereka sekaligus merancakkan lagi sektor pelancongan di Johor dan Malaysia.
“Selain itu, kerajaan negeri juga sedang mengkaji bagu mengadakan penerbangan terus dari destinasi lain di China seperti Beijing,” tambahnya.
Sementara itu, Raven Kumar turut memberitahu, beberapa penerbangan terus dari Johor ke Jakarta, Indonesia akan ditawarkan tahun ini selain sedang berbincang untuk menambah perkhidmatan ke Korea Selatan serta India.
Sebelum pandemik, pelancong China merupakan pengunjung antarabangsa ketiga tertinggi ke Johor dengan 526,951 orang direkodkan pada 2019.