comscore
Tumpuan :
Nasional

Johor buat persiapan awal hadapi Monsun Timur Laut

Oleh: Zahir Senapiah

JOHOR BAHRU: Kira-kira 100 lokasi panas (Hotspot) banjir di 16 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Johor dikenalpasti setiap kali tiba musim tengkujuh.

Berikutan itu kerajaan negeri telah mengambil inisiatif menyediakan peruntukan khas sebanyak RM78 juta bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan penambahbaikan infrastruktur di kawasan hotspot terbabit.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, kerja-kerja penambahbaikan seperti membersihkan termasuk longkang, tali air, sungai dan kolam takungan telah dimulakan sejak awal tahun ini.

“Sebelum ini kita minta PBT kenalpasti lokasi hotspot banjir sejak tahun lalu selepas berdepan banjir dan banjir kilat” katanya dalam satu kenyataan.

Setakat ini Daerah Johor Bahru dikenalpasti paling banyak kawasan hotspot banjir terutama banjir kilat.

Sebahagian besar kawasan PBT  telah membuat persiapan rapi, antaranya, Majlis Perbandaran Kluang (MPK) membuat persediaan dari segi logistik, pusat pemindahan sementara (PPS) dan projek naik taraf di kawasan dikenal pasti berisiko banjir.

Sebanyak 78 peratus daripada 23 kawasan hotspot banjir telah diambil tindakan bersama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) melibatkan kos RM9.32 juta.

MPK juga dilantik mengetuai aktiviti pasca banjir dengan penyediaan 29 kenderaan dan 140 petugas.

Manakala Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) turut melaksanakan kerja menaiktaraf dan pembersihan longkang bagi mengurangkan kesan banjir melibatkan kos berjumlah lebih RM4.45 juta membabitkan 20 projek di daerah berkenaan.

Sembilan lokasi hotspot banjir telah dikenal pasti termasuk pekan  Penggaram, Taman Damai, Taman Nira, Taman Tanah Merah, Kawasan Pekan Parit Raja, Taman Bintang, Kampung Johor, Taman Sri Jaya dan kawasan perumahan sepanjang Jalan Parit Besar.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) sebelum ini meramalkan Monsun Timur Laut (MTL) yang telah bermula dijangka berakhir pada Mac tahun depan.

Loading...
Terkini