ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor membentangkan Belanjawan Johor 2025 dengan mencatat lebihan RM 5.12 juta untuk tiga tahun berturut-turut.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, belanjawan bertemakan ‘Maju Johor, Rakyat Sejahtera’ dengan unjuran perbelanjaan adalah sebanyak RM1.999 bilion.
Katanya, sebanyak RM1.271 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM728 juta pula diperuntukkan bagi tujuan perbelanjaan Pembangunan.
“Bagi tahun 2025, sukacita saya maklumkan bahawa unjuran hasil negeri adalah RM2.005 bilion iaitu peningkatan RM201 juta atau 11 peratus berbanding unjuran tahun 2024,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2025, di Kota Iskandar, pagi tadi.
Menurut beliau, belanjawan kali ini diunjurkan bakal menerima hasil sebanyak RM2.005 bilion dengan RM895.15 juta disumbangkan melalui hasil cukai, sementara RM871.56 juta hasil bukan cukai dan sejumlah RM238.3 juta bukan hasil.
Belanjawan Johor 2025 berteraskan enam Agenda Maju Johor termasuk pembangunan ekonomi, pendidikan, kesihatan, perumahan mampu milik, infrastruktur, dan usaha memperkukuh keagamaan serta masa depan belia yang berdaya saing dengan 244 inisiatif.
Ujarnya, dalam tempoh dua tahun, Johor telah menarik pelaburan berjumlah RM113.7 billion dan menghasilkan lebih 35,000 peluang pekerjaan baharu.
September lalu, kerajaan Persekutuan telah melancarkan Pakej Insentif bagi Zon Kewangan Khas (SFZ) Forest City.
Menjelang bulan Disember depan, Kerajaan Malaysia dan Singapura akan menandatangani perjanjian bagi pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Dengan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas tersebut, dijangka lebih 100,000 peluang pekerjaan baharu akan diwujudkan.
Tambahnya, prestasi ekonomi Johor turut berkembang sebanyak 4.1 peratus pada tahun 2023 sekali gus melepasi paras pertumbuhan nasional iaitu 3.6 peratus dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah RM148.2 bilion pada 2023, berbanding KDNK RM142.4 bilion pada 2022.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.