Tumpuan :
Nasional

Johor Bahru daerah terbaharu terjejas banjir

Usaha memindahkan mangsa yang terjejas banjir ekoran hujan lebat berterusan melanda daerah Kota Tinggi sejak pagi semalam. – Foto PDRM Kota Tinggi

KOTA TINGGI: Mangsa banjir di Johor terus menunjukkan peningkatan apabila 1,786 daripada 533 keluarga kini ditempatkan di 30 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah terjejas, setakat jam 6 petang tadi.

Ia berbanding 1,291 mangsa daripada 396 keluarga yang ditempatkan di 22 PPS di empat daerah terjejas, jam 2 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata Johor Bahru adalah daerah terbaru yang terjejas susulan hujan lebat berterusan dari semalam.

Kota Tinggi kekal daerah paling terjejas dengan mangsa banjir seramai 1,085 daripada 345 keluarga yang ditempatkan di 13 PPS.

Beliau berkata, mangsa banjir paling ramai ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Laksamana membabitkan 205 orang daripada 51 keluarga dari kawasan Taman Aman dan Taman Mawai.

“Kluang merekodkan lonjakan mangsa banjir teramai yang kini berjumlah 328 daripada 83 keluarga yang ditempatkan di empat PPS, berbanding hanya 45 mangsa daripada 12 keluarga jam 2 petang tadi.

“Mangsa banjir di Kulai turut meningkat kepada 239 daripada 68 keluarga yang ditempatkan di empat PPS, berbanding 84 mangsa daripada 19 keluarga, jam 2 petang tadi.

“Di Pontian, jumlah mangsa banjir turut meningkat kepada 134 daripada 37 keluarga yang ditempatkan di empat PPS, berbanding 74 mangsa daripada 19 keluarga, jam 2 petang tadi.

“Mangsa banjir di Johor Bahru pula masih dikemaskini, namun setakat jam 6 petang tadi, lima PPS sudah dibuka” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Azmi yang juga Setiausaha Negeri Johor memaklumkan lima sungai masih merekodkan paras bahaya di negeri ini.

Katanya, ia membabitkan Sungai Lenik, Batu Pahat; Sungai Kahang, Kluang; Sungai Sayong di Kampung Siam, Kulai; Sungai Pontian Besar, Kulai selain Sungai Skudai di Kampung Laut, Johor Bahru.

“Lima sungai di Johor merekodkan paras amaran membabitkan Sungai Sayong di Kampung Murni Jaya dan Sungai Skudai di Kampung Separa, Kulai; Sungai Skudai, Kampung Pasir dan Sungai Tiram, Johor Bahru selain Sungai Jemaluang, Mersing.

“Empat sungai mencatatkan paras waspada membabitkan Sungai Segamat; Sungai Pulai, Pontian; Sungai Tebrau, Johor Bahru dan Sungai Sedili Kecil, Kota Tinggi,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini