comscore
Tumpuan :
Nasional

Johor arah sekolah tangguh sementara aktiviti luar bilik darjah

Foto hiasan. – FOTO NSTP

KOTA TINGGI: Johor telah mengarahkan pihak sekolah menangguhkan sementara semua aktiviti luar bilik darjah ekoran cuaca panas yang melanda negara kini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri Norlizah Noh berkata arahan berhubung perkara itu dikeluarkan kerajaan negeri kepada Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dua hari lepas.

Beliau berkata aktiviti luar seperti merentas desa dan sebagainya perlu ditangguhkan bagi mengelakkan sebarang risiko tidak diingini berlaku.

“Di Johor, saya telah memaklumkan kepada JPNJ agar semua program luar melibatkan sukan dan sebagainya ditangguhkan sementara.

“Kita tidak mahu ambil apa-apa risiko dengan keadaan cuaca panas ketika ini dan memandang serius kerana mahu mengelakkan daripada kes (strok haba) berlaku di Johor,” katanya kepada pemberita di Majlis Sambutan Aidilfitri Perdana 2023 di Dewan Felda Lok Heng Barat, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Norlizah berkata bagi sekolah yang ingin meneruskan aktiviti luar berikutan ia telah lama dirancang, perlu memaklumkan kepada JPNJ terlebih dahulu untuk dinilai.

“Setakat ini tiada sekolah yang ingin meneruskan aktiviti luar, tetapi bagi sekolah yang hendak buat juga perlu maklum kepada JPNJ terlebih dahulu.

“Kita akan lihat dahulu sama ada boleh atau sesuai untuk dibuat berdasarkan keadaan cuaca di sesuatu tempat itu,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilaporkan berkata kesemua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia diminta memberi kerjasama dengan menangguhkan aktiviti luar berikutan cuaca panas dan kering berpanjangan.

Beliau berkata aktiviti tersebut termasuk merentas desa, kawad, sebarang sukan dan permainan, perkhemahan serta pengajaran dan pembelajaran (PdP) di luar bilik darjah. – BERNAMA

Loading...
Terkini