KUALA LUMPUR: ‘Peringatan terakhir’ diberikan kepada semua Ahli Parlimen supaya tidak melakukan tindakan melampaui batas dengan menyerang institusi Parlimen termasuk merendahkan jawatan Speaker.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata semua wakil rakyat perlu sedar, kritikan dan dakwaan negatif mereka terhadap jawatan Speaker adalah mencemar nama baik institusi Parlimen.
“Dalam kes Pendang (Datuk Awang Hashim), beliau sebut ‘Speaker’ bukan Johari Abdul. Beliau serang jawatan saya sebagai Speaker. Dalam Parlimen pula sudah ada kes duluan, ini sudah saya sebut apabila Padang Serai (N. Surendran yang digantung enam bulan), dia buat sidang media di lobi pada masa itu.
“Masa itu, saya adalah Ahli Parlimen dan tindakan diambil terhadap beliau walaupun bukan dalam Dewan,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Terdahulu, Johari menghadiri Majlis Perasmian Seminar Potensi Industri Lembu Hibrid Pedaging Malaysia 2024 bertemakan ‘Memperkasakan Industri Lembu Hibrid Pedaging, di Dewan Bankuet, Parlimen.
Majlis itu disempurnakan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup.
Turut hadir, Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia, Datuk Ahmad Husaini Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Dr Akma Ngah Hamid.
Untuk rekod, pada 2013, Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran digantung enam bulan daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat kerana kenyataannya yang menghina Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut, Johari berkata, keputusannya menggantung Ahli Parlimen Pendang seharusnya dijadikan iktibar kepada semua Ahli Parlimen supaya tidak sesekali mengambil tindakan menyerang institusi yang mereka sendiri selaku wakil rakyat adalah sebahagian daripadanya.
“Okaylah saya beri 10 hari, bukan enam bulan. Ini saya kira supaya menjadi ingatan kepada orang lain (Ahli Parlimen), kalau nak serang, seranglah saya. Bukan kerusi Speaker, kerana ia di bawah institusi (Parlimen).
“Kalau sebut nama saya, okay. Ahli Parlimen juga perlu faham, kalau mereka ini nelayan atau guru saya boleh terima lagi sebab (mereka) ini tidak tahu (padah serang institusi Parlimen).
“Ini yang (serang Parlimen) adalah sebahagian daripada institusi. Janganlah buat macam tu, tak cantik.
“Jadi, ini peringatan terakhir kepada semua MP (Ahli Parlimen). Perlu ingat, 10 hari (hukuman) mungkin boleh bertambah (jika lakukan tindakan melampaui batas),” katanya.
Mengulas kenyataan Ketua Pemuda PAS yang juga Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden semalam yang mempersoalkan tindakan beliau menggantung Ahli Parlimen Pendang, Johari berkata, keputusan itu dibuat selepas memberikan beberapa kali peluang untuk Awang tampil memohon maaf dan menarik balik dakwaannya.
“Pertama, saya bagi surat untuk minta dia (Pendang) minta maaf. Saya juga kemudian hantar Setiausaha Dewan Rakyat, tetapi dia masih tak datang.
“Saya minta juga Ketua Whip (PN) nasihat, dia masih tak tampil. Jadi bagaimana? Nasib saya tak bagi enam bulan, 10 hari tu kira okaylah,” katanya.
Semalam, Awang diarah keluar dari Dewan Rakyat dan digantung 10 hari kerana mengeluarkan dakwaan negatif terhadap Johari.
Menurut Johari, kecaman terbabit dibuat menerusi aplikasi TikTok pada 18 Julai lalu dengan keputusan itu diambil susulan ahli Parlimen PN mewakili PAS itu tidak menarik balik atau membuat permohonan maaf susulan tindakan terbabit.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.