KUALA LUMPUR: Pelawak kontroversi, Jocelyn Chia sekali lagi memperlekeh dan mempersenda Malaysia apabila mempersoalkan mengapa kerajaan tidak mengarahkan INTERPOL menahan kumpulan dari Britain, The 1975 susulan aksi biadap mereka semasa membuat persembahan di negara ini.
Dalam satu hantaran di Twitter semalam, Jocelyn secara sinis mengalu-alukan vokalis kumpulan itu, Matty Healy dalam senarai individu yang disenarai hitam oleh kerajaan Malaysia sebagaimana pernah dihadapinya sebelum ini.
Artikel berkaitan: Tindakan Interpol hanya popularkan saya – Jocelyn Chia
“Selamat datang Matty Healy ke dalam senarai yang disekat oleh Malaysia. Namun, mana arahan supaya dia ditahan dan INTERPOL digesa mengesan di mana dia berada kerana dikatakan melanggar undang-undang Malaysia ketika berada di negara itu?.”Adakah Malaysia telah melonggarkan (undang-undang sedia ada)…atau apa sebenarnya…,” katanya dalam ciapan menerusi akaun Twitternya, @JocelynChia.
Ciapan berkenaan hanya mendapat 31 tanda suka dengan kebanyakan pengguna Twitter bertindak membidas kenyataan wanita berkenaan.
Seorang pengguna Twitter, Beefy Dude dalam responnya berkata, vokalis berkenaan tidak dipanggil pihak polis kerana tidak membuat lawak sensitif dengan mempersendakan mangsa yang terbabit dalam kes MH370.
Seorang lagi pengguna, @AnuarMahyu pula meminta supaya pelawak itu tidak lagi mencetuskan kontroversi.
“Move on (sudahlah) mak cik. Ramai orang yang dah lupa dengan apa yang berlaku. Sudahlah tak laku di Amerika Syarikat, terdesak sangat untuk kekal relevan,” katanya.
Ciapan Jocelyn itu dianggap sengaja menimbulkan provokasi terhadap Malaysia dengan mengaitkan isu aksi dan kenyataan biadap kumpulan The 1975 ketika membuat persembahan pada Festival Good Vibes 2023 di Sepang, Sabtu lalu.
Healy dikecam teruk susulan aksi memegang botol arak ketika membuat persembahan dan turut bertindak kurang sopan dengan meludah dan mencium anggota kumpulannya yang juga pemain gitar bass, Ross McDonald.
Sebelum ini, Jocelyn yang juga pelawak kelahiran Singapura, dikecam pelbagai pihak kerana lawak kontroversinya berhubung kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia, MH370.
Tindakannya itu mendapat kecaman hebat daripada pelbagai pihak termasuk Malaysia dan Singapura kerana tidak sensitif terhadap perasaan keluarga mangsa.
Insiden yang tular di media sosial itu membabitkan satu persembahan komedi bertajuk ‘Singapore vs Malaysia’ di New York, Amerika Syarikat, Jun lalu.