TUARAN: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah akan menyewa 16 kabin untuk menempatkan sementara pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tamparuli, selepas bangunan sekolah it diisytiharkan tidak selamat digunakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, berkata JPN Sabah sudah mengemukakan permohonan sewaan 16 kabin itu kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan menunggu kelulusan.
“Pendekatan itu adalah antara langkah merangkumi penyewaan kabin dan penempatan sementara pelajar Tingkatan Enam di bangunan lain.
“Selain itu, JPN juga mengenalpasti Pusat Kegiatan Guru (PKG), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tuaran untuk dijadikan penempatan sementara kepada 256 pelajar tingkatan enam dari sekolah itu,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, laporan pemeriksaan pihak JKR Sabah pada Julai lalu mendapati bangunan Blok B, Blok C, Asrama Puteri, Asrama Putera, Blok Pra-U dan Blok Bengkel RBT mengalami kerosakan serius dan tidak selamat untuk diduduki.
Katanya, laporan itu dibuktikan lagi apabila sekolah berkenaan mengalami kerosakan besar ketika ribut kencang 18 September lalu menyebabkan sebahagian bumbung sekolah itu musnah diterbangkan angin.
Madius berkata, KPM menyalurkan peruntukan bencana bernilai RM190,000 kepada JPN Sabah pada 25 September 2024 untuk menangani kerosakan bumbung SMK Tamparuli.
“Ketika ini, kerja pembaikan bumbung bangunan pejabat pentadbiran sekolah itu giat dilaksanakan dan dijangka selesai tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata, dalam Rolling Plan Empat 2024 Rancangan Malaysia ke -12 (RMKe-12) KPM, projek pembinaan blok program pendidikan khas integrasi (PPKI) sudah diluluskan merangkumi lima bilik darjah dan dua bengkel kemahiran lengkap kemudahan mengikut piawai di SMK Tamparuli.
“Kerja awalan projek kerja ukur dan kerja siasatan tanah selesai, masa kini JKR Sabah sedang menyediakan rekabentuk terperinci untuk pembinaan,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, bagi langkah jangka masa panjang, KPM melalui JPN Sabah merancang mengemukakan permohonan pembinaan bangunan gantian SMK Tamparuli mengikut Plan RMKe-13 2026.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.