KUALA LUMPUR: Jabatan Kerja Raya (JKR) diarah menjalankan siasatan bagi menentukan sama ada semua aspek terutama prosedur operasi standard (SOP) dan aspek keselamatan dipatuhi di tapak projek pembinaan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utara (CSR), yang mengorbankan nyawa seorang pekerja di situ.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berharap JKR dapat menyediakan laporan terperinci berhubung insiden berkenaan.
“Saya dimaklumkan, siasatan lanjut sedang dijalankan beberapa pihak untuk mengenal pasti punca kejadian.
“Saya bersimpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga buruh warga Indonesia yang maut tertimbus tanah dalam kejadian di tapak projek pembinaan CSR di Kampung Berembang, Kuala Lipis hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu media melaporkan, seorang pekerja warga Indonesia maut tertimbus tanah dalam kejadian di tapak projek pembinaan lebuh raya berkenaan.
Difahamkan mangsa, Khairul Anam, 28, berasal dari Jawa Timur, Indonesia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dalam insiden yang dilaporkan jam 11.15 pagi itu.
Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa bersama tiga pekerja lain sedang melakukan kerja-kerja mengorek longkang untuk sistem pembetungan.
Mangsa kemudian dipercayai turun ke dalam longkang untuk mengukur kedalaman longkang itu selepas jengkaut berhenti melakukan penggalian.
Bagaimanapun, ketika mangsa berada di dalam longkang sedalam kira-kira 2.5 meter itu, secara tiba-tiba tanah tebing runtuh dan menimbus mangsa.