comscore
Tumpuan :
Nasional

JKN Perak tubuh jawatankuasa siasat surat layang doktor HRPB ‘gatal’

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak menubuhkan Jawatankuasa Penyiasatan Bebas susulan dakwaan menerusi surat layang mengenai salah laku gangguan seksual serta ugutan membabitkan kakitangan Hospital Raja Permaisuri Bainun.

IPOH: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak menubuhkan Jawatankuasa Penyiasatan Bebas susulan dakwaan menerusi surat layang mengenai salah laku gangguan seksual serta ugutan membabitkan kakitangan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Surat layang atau sesuai juga dikatakan sebagai surat terbuka itu dipercayai ditujukan kepada Pengarah HRPB dan ditemukan di Jabatan Ortopedik, HRPB.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak mengesahkan penerimaan surat layang terbabit melalui pos pada 28 Februari lalu yang seterusnya membawa kepada penubuhan jawatankuasa itu pada 29 Februari.

Menurutnya, keahlian jawatankuasa itu antaranya terdiri daripada beberapa pegawai yang dilantik oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) KKM dengan siasatan kini sedang dilaksanakan dengan pengumpulan pelbagai bukti berkaitan kesalahan gangguan seksual itu, selain ugutan.

“KKM memandang pertuduhan (melalui surat layang) ini sebagai sangat serius dan mempunyai toleransi sifar terhadap gangguan seksual di tempat kerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu kemudian turut dikongsikan melalui Facebook (FB) rasmi JKN Perak serta FB HRPB.

Hospital Raja Permaisuri Bainun. – FOTO: NSTP

Surat layang itu tular selepas pengguna laman sosial X, @azizlhkim memuat naik kandungan surat itu semalam hingga mendapat 1.4 juta tontonan (view) dan lebih 6,800 ulang hantar (repost).

Berdasarkan isi surat layang itu, ia dikatakan daripada bekas doktor pelatih (housemen) perempuan yang sudah tamat latihan serta mereka yang masih menjalani latihan di Jabatan Ortopedik, menyatakan masalah dihadapi mereka apabila diugut serta diganggu secara seksual.

Mereka diugut kononnya tempoh ‘tagging’ dan latihan mereka dipanjangkan walapun pegawai perubatan senior yang dimaksudkan tidak mempunyai kuasa untuk mengawasi mereka, selain menyatakan ketidakpuasan hati kepada penyelia latihan mereka.

Beberapa nama doktor turut disebut dalam surat layang berkenaan yang disifatkan sering mengganggu penghantar surat dan disifatkan sebagai ‘gatal’.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri Ketika dihubungi hari ini mengesahkan pihaknya tidak menerima laporan berkaitan isu gangguan seksual seperti dimaksudkan menerusi surat layang itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini