comscore
Tumpuan :
Nasional

JKM sediakan pelan latihan khusus kepada Pegawai Pelindung

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Dalam usaha memastikan perkhidmatan perlindungan kanak-kanak dilaksanakan dengan optimum, seramai 120 Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Gred S29 (Kontrak) melapor diri di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Kumpulan itu akan bertugas sebagai Pegawai Pelindung dan Pegawai Akhlak di Pejabat Kebajikan Masyarakat di seluruh negara.

Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam satu kenyataan berkata, pegawai lantikan baharu itu telah diberikan taklimat dan pengenalan di peringkat Ibu Pejabat JKM serta Pejabat Kebajikan Negeri masing-masing.

“Mereka akan mengikuti Kursus Pengukuhan dan Pengendalian Kes Pemeliharaan, Perlindungan dan Pemulihan Kanak-Kanak bagi Pelindung dan Pegawai Akhlak. Tujuan kursus ini diadakan adalah untuk memberikan pendedahan yang lebih mendalam berhubung Akta Kanak-Kanak 2001 dan peranan untuk menyelamatkan kanak-kanak daripada penganiayaan, penderaan dan pengabaian,” katanya.

Kenyataan itu memaklumkan, JKM telah menyediakan pelan latihan yang khusus kepada Pegawai Pelindung dan Pegawai Akhlak tahun ini.

Pelan latihan itu bagi memantapkan lagi kemahiran serta pengetahuan pegawai dalam memberikan perlindungan serta perkhidmatan yang terbaik kepada kumpulan sasar kanak-kanak berdasarkan akta serta peraturan yang berkuat kuasa.

Sejumlah 22 kursus akan dilaksanakan khusus kepada pegawai tersebut.

“KPWKM melalui JKM sudah menambah baik garis panduan dan peraturan sedia ada untuk memastikan Pegawai Pelindung serta Pegawai Akhlak mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh JKM. Semoga usaha ini akan memantapkan lagi perkhidmatan kepada kanak-kanak dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan kanak-kanak di negara kita,” menurut kenyataan.

Bagi tahun ini, diunjurkan sebanyak 372 jawatan Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Gred 29 lagi akan dibuat pengambilan secara kontrak khusus untuk perkhidmatan berkaitan kanak-kanak.

Loading...
Terkini