KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia untuk mengaktifkan 8,481 pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan 2.1 juta mangsa banjir di seluruh negara.
PPS berkenaan membabitkan 5,063 sekolah, balai raya/dewan (2,457), masjid/surau (572) dan pusat komuniti (389).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, seramai 82,794 pegawai dan anggota pelbagai cabang agensi kerajaan pada semua peringkat turut bersiap siaga sepenuhnya untuk menghadapi bencana itu.
Selain itu, beliau berkata, sebanyak 37,127 unit pelbagai aset disediakan membabitkan bot penyelamat (2,031), jentera kenderaan 4×4 (1,399), jentera kenderaan berat (1,646), helikopter (31), jaket keselamatan pelbagai saiz untuk kegunaan mangsa (30,260), dan jambatan panel keluli bermodular (1,760).
“Pihak JKM juga memaksimumkan 774 Fasiliti Penyimpanan Bantuan Bencana di seluruh negara mulai September dan Oktober bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) turut menyalurkan peruntukan bantuan bencana berjumlah RM232 juta kepada semua negeri bagi diagihkan kepada ketua isi rumah (KIR) mangsa bencana yang terjejas dan memenuhi syarat-syarat kelayakan ditetapkan,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan melalui laman web Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berhubung tahap kesiapsiagaan NADMA dalam pengurusan banjir bagi mempertingkatkan keselesaan PPS bertujuan menjamin kebajikan mangsa banjir.
Menjelaskan lanjut, Ahmad Zahid berkata, ada dua jenis bantuan bencana disediakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui peruntukan yang disalurkan NADMA kepada semua negeri, iaitu Bantuan Wang Ihsan dan Bantuan Wang Ihsan Kematian.
Katanya, Bantuan Wang Ihsan adalah sumbangan RM1,000 untuk KIR yang terjejas akibat bencana dan berpindah atau berdaftar di PPS, manakala Bantuan Wang Ihsan Kematian membabitkan sumbangan RM10,000 bagi waris mangsa yang meninggal dunia akibat bencana.
Sekiranya berlaku banjir besar di luar jangka pula, beliau berkata, NADMA bersedia untuk menyalurkan peruntukan tambahan jika diperlukan, mengikut permohonan negeri berdasarkan jumlah sebenar KIR yang terjejas akibat bencana.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.