Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menghulurkan bantuan bersesuaian kepada keluarga dua beradik yang dihempas dan dicampak disyaki oleh bapa saudara mereka dalam kejadian di Pulau Pinang pada Rabu lalu.
Kenyataan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memaklumkan, pihaknya memandang serius kes berkenaan.
“KPWKM mengambil maklum yang suspek telah ditahan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan. KPWKM melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyantuni keluarga ini bagi menghulurkan bantuan yang bersesuaian seperti pemeliharaan dan perlindungan berdasarkan Seksyen 17 Akta Kanak- kanak 2001,” menurut kenyataan itu.
Semalam, media melaporkan, seorang budak berusia tiga tahun dicampak dari tingkat satu oleh bapa saudaranya, dalam satu kejadian di sebuah pangsapuri di Sungai Pinang.
Artikel berkaitan: Bapa saudara hempas bayi 40 hari ke lantai, campak budak 3 tahun dari tingkat 1
Kejadian menyebabkan mangsa cedera di mulut serta patah kaki kiri.
Manakala, adiknya yang juga bayi perempuan yang baru berusia 40 hari, mengalami pendarahan di bahagian kepala selepas dipercayai dihempas ke lantai oleh suspek.
Susulan itu, polis menahan seorang penganggur, 29, dan kini direman tujuh hari sehingga 9 Ogos ini bagi membantu siasatan .
Mengulas lanjut, KPWKM menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana kesalahan melibatkan hak dan kebajikan kanak-kanak.
Pada masa sama, kementerian katanya komited untuk terus meningkatkan kesedaran melalui kerjasama pelbagai pihak dalam usaha melindungi kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama.
“Masyarakat dimohon untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu sehingga pihak berkuasa selesai menjalankan siasatan,” menurutnya.
KPWKM juga meminta masyarakat yang mengetahui mengenai sebarang kes penderaan melibatkan kanak-kanak untuk menghubungi Talian Kasih di talian 15999 atau nombor WhatsApp 019-2615999 atau terus ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) terdekat bagi mendapatkan bantuan segera.