KUANTAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang hampir selesai mengagihkan barang keperluan ke 159 pangkalan hadapan di negeri ini sebagai persiapan menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka bermula hari ini hingga Mac tahun depan.
Pengarahnya, Siti Nor Hasma Mat Isa berkata agihan secara berperingkat bermula awal bulan lalu membabitkan sembilan jenis barang makanan kering termasuk selimut, tuala, tikar, lampin pakai buang bayi dan dewasa termasuk sabun, kain pelikat serta kain batik.
Menurutnya, daerah Temerloh dijangka ada 33 pusat pemindahan sementara (PPS) diikuti Kuantan dan Jerantut masing-masing 19 PPS, Lipis (18), Pekan (14), Rompin (14), Maran (12), Bera (12), Raub (11), Bentong (4) serta Cameron Highlands (3).
Katanya, setiap barangan makanan kering yang ditempatkan di pangkalan hadapan mampu bertahan lebih seminggu bergantung pada jumlah mangsa.
“Untuk menghadapi Monsun Timur Laut kali ini JKM Pahang menerima peruntukan RM7.6 juta daripada Kerajaan Pahang dan RM1.25 juta daripada Kerajaan Persekutuan.
“Bantuan berkenaan digunakan dalam pelbagai perkara terutama membabitkan bantuan makanan, keperluan asas dan pengurusan,” katanya.