PENDANG: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Pendang sedang mengesan ibu bapa, waris atau pihak bertanggungjawab kepada seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di sebuah gerai nasi lemak Kampung Rambai, Jalan Tokai, Pendang, pada 8 Oktober lalu.
JKM dalam kenyataannya berkata, sebelum itu, pihak jabatan telah menerima maklumat berhubung penemuan bayi terbabit melalui siaran media dan akhbar.
Ketika ditemui, bayi itu lengkap dengan tali pusat dan tiada sebarang dokumen ditemui bersamanya.
“Laporan polis berhubung penemuan bayi lelaki itu sudah pun dibuat oleh individu yang menemuinya.
“Menurut pihak polis, siasatan masih dijalankan dan sehingga kini pelaku masih belum ditemui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kini, bayi itu sudah mendapat perintah jagaan sementara di bawah Seksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001 di institusi JKM bagi membolehkan Pegawai Pelindung membuat siasatan lanjut dan perancangan masa depan.
Sehubungan dengan itu, orang ramai diminta untuk menghubungi Pegawai Pelindung JKM Daerah Pendang di talian 04-7596235 jika mempunyai maklumat mengenai bayi terbabit.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.