Tumpuan :
Nasional

JKM berhak tarik hak penjagaan kanak-kanak GISBH jika penjaga langgar syarat

Menurut Anfaal, JKM berhak menarik semula hak penjagaan kanak-kanak berkenaan jika ibu bapa atau penjaga melanggar syarat bon yang ditetapkan. Foto NSTP

SHAH ALAM: Seramai 185 kanak-kanak GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) sudah diserahkan kepada keluarga dengan bon beserta syarat oleh pihak mahkamah.

Bagaimanapun, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berhak menarik semula hak penjagaan kanak-kanak itu sekiranya ibu bapa atau penjaga melanggar syarat bon yang ditetapkan.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat negeri Anfaal Saari, berkata perkara itu sebagaimana yang dimaklumkan dalam syarat tambahan mengikut Subseksyen 30(8) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Ibu bapa atau penjaga hendaklah memaklumkan kepada pelindung… jadi dari masa ke semasa, pelindung akan memantau.

“Sekiranya mereka melanggar syarat yang dikenakan, bon tanpa cagaran ini mereka sudah melanggar kesalahan” katanya pada
sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Wisma DUN Selangor, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Lim Yi Wei (PH-Kampung Tunku) berhubung mekanisme pemantauan bagi pergerakan anak merentasi negeri atau ke luar negara.

Katanya, Subseksyen 30(8) Akta Kanak-Kanak 2001 juga memberi kuasa kepada mahkamah bagi mengenakan sebarang syarat atau memberikan apa-apa arahan yang difikirkan sesuai oleh mahkamah bagi maksud memastikan keselamatan dan
kesejahteraan kanak-kanak.

Beliau berkata, jenis bon yang dikenakan ialah seperti yang diperuntukkan di bawah Subseksyen 30(1)(a) iaitu bon tanpa cagaran manakala terdapat syarat tambahan di bawah Subseksyen 30(8) termasuklah ibu bapa atau penjaga hendaklah memaklumkan kepada pelindung sekiranya ingin bertukar alamat ataupun tempat tinggal.

“Ibu bapa atau penjaga hendaklah memastikan sebarang perbuatan berunsur penganiayaan, penderaan dan pengabaian tidak akan berlaku, selain memastikan kanak-kanak mendapat pendidikan atau persekolahan formal yang sewajarnya.

“Mereka tidak boleh memindahkan hak penjagaan kepada orang lain atau meletakkan kanak-kanak di suatu pusat tanpa pengetahuan pelindung dan kebenaran mahkamah.

“Pelindung bila-bila masa berhak untuk hadir dan melawat kanak-kanak di alamat tempat tinggal, ibu bapa atau penjaga hendaklah memastikan segala keperluan dan kebajikan kanak-kanak terjaga dan terjamin,” katanya.

Pada masa sama, kanak-kanak itu tidak boleh dijadikan kandungan (content) di media sosial atau mana-mana platform media.

 

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini