comscore
Tumpuan :
Nasional

JKM ambil alih penjagaan dua beradik terkurung dalam rumah

Foto hiasan

AMPANG JAYA: Dua kanak-kanak lelaki yang diselamatkan polis selepas terkurung di dalam rumah selama dua hari di Taman Kosas, di sini, kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim berkata, kanak-kanak berusia setahun dan enam tahun itu ditempatkan oleh JKM di hospital untuk pemeriksaan.

“Satu perintah sementara akan diambil bagi kanak-kanak ini dijaga JKM,” katanya kepada Harian Metro malam ini.

Media sebelum ini melaporkan kanak-kanak terbabit hanya dibekalkan wang RM5 sebelum ibu mereka keluar bekerja, namun tidak pulang selama dua hari menyebabkan dua kanak-kanak lelaki yang terkurung di dalam rumah di Taman Kosas itu meminta bantuan jiran menyelamatkan mereka.

Kebetulan jiran itu ketika pulang dari kerja jam 7 malam melihat mangsa berada di pintu jeriji meminta mencari ibu mereka yang tidak pulang ke rumah selama dua hari.

Jiran terbabit terpaksa menghubungi polis selepas tidak dapat masuk ke rumah sebelum kanak-kanak berusia setahun dan enam tahun itu diselamatkan polis jam 8.30 malam Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail dilaporkan berkata, anggota polis bertugas di pusat kawalan daerah menerima panggilan telefon daripada orang awam memberitahu dua kanak-kanak terkurung di dalam rumah kerana ibu tidak pulang selama dua hari.

Kedua-dua kanak-kanak lelaki itu diselamatkan polis Ampang Jaya dan dibawa ke Hospital Ampang bagi pemeriksaan sebelum ibu mereka ditahan untuk siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini