comscore
Tumpuan :
Nasional

JKKP siasat insiden juruteknik jatuh ketinggian 40 meter di Langkawi

FOTO: JBPM

ALOR SETAR: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) telah menjalankan siasatan berhubung insiden juruteknik terjatuh dari besi penahan platform kaca pada ketinggian 40 meter di lereng Gunung Machinchang, Khamis lepas.

Perkara itu disahkan oleh Syarikat Langkawi Skywalk Sdn Bhd (Langkawi Skywalk) yang mengendalikan pusat tarikan pelancong Eagle’s Nest Skywalk Langkawi tersebut dan turut menyatakan syarikat berkenaan memberi kerjasama penuh dalam membantu siasatan.

“Ingin ditegaskan bahawa pihak kami telah mengikut prosedur operasi standard keselamatan seperti yang telah ditetapkan dalam semua keadaan.

“Untuk butiran hasil siasatan penuh, pihak kami serahkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan,” menurut syarikat itu dalam kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama Langkawi Skywalk memaklumkan kawasan kemalangan bukan kawasan kunjungan awam dan menegaskan kawasan lantai kaca untuk kunjungan awam atau pelawat berada dalam keadaan selamat serta tidak terjejas.

Syarikat itu turut mengesahkan mangsa, Khairul Nizam Jaffar, 41, adalah petugas syarikat itu sebagai juruteknik elektrik.

“Untuk makluman, pihak syarikat tidak mengabaikan kebajikan mangsa dan keluarga beliau dan akan dibantu mengikut saluran sedia ada,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang juruteknik maut selepas terjatuh dari ketinggian kira-kira 40 meter di lereng Gunung Machinchang di Langkawi dalam kejadian pada 12.15 tengah hari, Khamis lepas.

Mangsa dilaporkan terjatuh ketika berada di besi penahan dek kaca di pusat tarikan pelancong Eagle’s Nest Skywalk Langkawi.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini