comscore
Tumpuan :
Nasional

JKDM terima 20 anjing pengesan dadah Jun lalu

Foto: Jabatan Kastam Diraja Malaysia / Facebook

KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerima 20 Anjing Pengesan Dadah (APD) jenis baka Labrador Retriever dari India pada 7 Jun lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan), Ribuan Abdullah berkata, semua APD itu bersama penyelia (handler) sudah menjalani Latihan Teknik-Teknik Pengendalian, Pengurusan dan Penyesuaian Penyeliaan APD yang dikendalikan oleh jurulatih terlatih di Unit K9, Ibu Pejabat JKDM.

Katanya, melalui kedua-dua latihan itu, penyelia memperoleh kecekapan dan keserasian untuk menjalankan tugas bersama APD.

Foto: Jabatan Kastam Diraja Malaysia / Facebook

“Penyerahan APD kepada Cawangan Narkotik di negeri-negeri persempadanan negara adalah antara usaha dalam membantu Bahagian Penguatkuasaan membanteras penyeludupan dadah.

“Selain daripada penggunaan teknologi mesin pengimbas terkini, kehadiran APD memiliki deria bau yang sangat sensitif juga berkeupayaan untuk mengesan dadah di lapangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Foto: Jabatan Kastam Diraja Malaysia / Facebook

Ribuan berkata, penggunaan APD memberi fokus kepada pengesanan dadah di persempadanan negara termasuk pemilikan dan pengedaran dadah di dalam negara.

“Kehadiran APD di lapangan juga akan menimbulkan rasa takut kepada penyeludup dan individu tertentu yang merancang melakukan jenayah penyeludupan dan pengedaran dadah.

“APD kini menjadi elemen penting dalam Program Pengurusan Risiko Global yang dibentuk oleh pentadbiran Kastam,” katanya.

Foto: Jabatan Kastam Diraja Malaysia / Facebook

Beliau berkata, program dadah dan prekursor yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kastam Sedunia atau World Customs Organization (WCO) menekan kepentingan peranan APD dalam memastikan keselamatan dan kawalan sempadan.

“Penggunaan APD sudah terbukti berkesan dalam mengesan bahan terlarang seperti dadah dan prekursor selain membantu mencegah penyeludupan dan aktiviti jenayah lintas sempadan.

“JKDM akan terus memberi komitmen sepenuhnya dalam usaha untuk melumpuhkan rantaian penyeludupan dadah melalui pelbagai inisiatif termasuk melaksanakan kerjasama dengan agensi dalam dan luar negara.

“JKDM juga menyeru orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam berhampiran,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini