Tumpuan :
Nasional

JKDM Sabah rampas pelbagai minuman keras, rokok lebih RM1 juta

FOTO: NSTP

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas pelbagai barangan larangan termasuk dadah dan menahan tujuh individu dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Siti Mang berkata, tujuh individu ditahan membabitkan warga tempatan berusia 19 hingga 53 tahun.

Katanya, pihak JKDM juga berjaya merampas 555.60 liter minuman keras dan 146,650 batang rokok pelbagai jenis dan 1,600 gram tembakau.

“Semua barang rampasan berkenaan dianggarkan bernilai RM183,086 manakala jumlah duti dan cukai terlibat adalah sebanyak RM861,836.

“Bagi tempoh sama juga, JKDM Sabah merekodkan 163 kes dadah dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM440,027,” katanya pada sidang media di Menara Kastam Sabah, di sini, hari ini.

FOTO: NSTP

Mengenai kejayaan membabitkan kes narkotik, Siti berkata, sepanjang tempoh itu, Cawangan Narkotik Bahagian Penguatkuasaan, JKDM Sabah merampas pelbagai jenis dadah termasuk ganja, ekstasi, ketamin, dan psilocybin (cendawan halusinogen).

Katanya, turut dirampas kira-kira tiga tan daun dan serbuk ketum.

“Modus operandi bagi kes dadah kebanyakannya disimpan di lokasi tersembunyi di dalam premis perniagaan untuk mengelirukan dan mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

“Bagi kes penyeludupan ketum pula adalah menggunakan perkhidmatan kurier dan perkhidmatan pengangkutan awam,” katanya.

Katanya, orang ramai disarankan supaya memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan di talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini