Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] JKDM rampas rokok seludup RM3.62 juta

ISKANDAR PUTERI – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menemui lebih 21 juta batang rokok tidak berkastam di dalam dua kontena disembunyikan di belakang kotak mengandungi lori mainan di Pelabuhan Tanjung Pelepas dianggarkan bernilai RM3.62 juta.

Pengarah Kastam Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi, berkata dalam kejadian pada 3 dan 4 Mac lalu, sindiket penyeludupan rokok itu menggunakan taktik menyusun kotak lori mainan bagi mengaburi mata pihak berkuasa, namun pemeriksaan rapi dibuat anggotanya berjaya mematahkan penyeludupan itu.

“Jika sekali pandang, dua kontena itu cuma berisi lori mainan sahaja, namun oleh kerana taktik sebegini kerap kali digunakan sindiket, maka anggota membuat pemeriksaan rapi di bahagian belakang kontena.

“Akhirnya, apa yang disyaki anggota terbukti benar apabila mereka menemui rokok tidak berkastam atau seludup membabitkan 21 juta batang dianggarkan bernilai RM3.6 juta dengan anggaran nilai cukai berjumlah RM14 juta.

“Kesemua rokok seludup itu kemudian dirampas Bahagian Penguatkuasa JKDM Johor untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Gelang Patah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Aminul Izmeer berkata, siasatan awal ke atas kontena itu didapati rokok seludup itu dalam perjalanan untuk dihantar ke Mexico.

Katanya, JKDM sedang mengesan pemilik dagangan berkenaan.“Sindiket menggunakan modus operandi menyeludup rokok tidak berkastam dengan membuat pengikraran yang mengelirukan di dalam borang Kastam 6, bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 133(1) (a) Akta Kastam 1967,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini