![](https://media.buletintv3.my/2024/09/jxp26vZa-BTV3-NEW-2.jpg)
Oleh: Suzila Idayu Yaacob
PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) diseru agar terus memperkukuh nilai integriti dalam kalangan pegawai dan anggota.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata anggota yang terpalit amalan rasuah dan pencabulan terhadap usaha mengangkat darjat negara akan berdepan tindakan tegas.
“Tidak kira terhadap mana-mana individu sahaja. Jangan pernah sesekali kita mencemarkan nama baik jabatan dan meroboh kepercayaan rakyat kepada kita,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-43 Tahun 2025, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin.
Selari matlamat kerajaan, Anwar turut mengingatkan bahawa integriti dan amanah adalah tunjang utama dalam perkhidmatan awam.
“Saya ingin mengingatkan bahawa integriti dan amanah adalah tunjang utama dalam perkhidmatan awam. Insiden melibatkan enam pegawai JKDM dalam Ops Airways yang dikaitkan dengan sindiket penyeludupan di Pusat Kargo KLIA harus dijadikan iktibar,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menzahirkan ucapan tahniah kepada JKDM kerana berjaya mengutip hasil sebanyak RM65.57 bilion bagi tahun 2024, iaitu peningkatan sebanyak RM10.40 bilion berbanding tahun 2023.
“Prestasi ini amat membanggakan. Tahniah, Ia membuktikan keupayaan
JKDM untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi MADANI yang mampan,” katanya.
Menyedari kepentingan peranan badan penguatkuasaan itu, beliau turut memaklumkan kerajaan melalui Belanjawan 2025 telah memperuntukkan sebanyak RM60 juta kepada JKDM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“JKDM adalah sebuah institusi penting yang memainkan peranan strategik dalam memacu pembangunan negara.
“Selama ini, jabatan ini telah berjaya melaksanakan fungsi utamanya iaitu mengutip hasil negara dan memperkasakan rantaian perdagangan yang selamat,” tegasnya lagi.
Jelas beliau, langkah itu adalah antara inisiatif memperkukuh usaha kerajaan untuk melindungi kekayaan negara dengan memastikan tiada ketirisan wang rakyat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.