comscore
Tumpuan :
Baca Berita Challenge

Jiwa ‘sebati’ dengan bahasa kebangsaan – Pang Chinn Fei

Oleh: Dzaifiq Khalif Darus

PETALING JAYA: ‘Dah terbiasa dari kecil’. Itulah respon pertama yang diberikan oleh penyampai berita TV3, Pang Chinn Fei atau lebih dikenali Fei apabila ditanya mengenai mahir bertutur dalam bahasa kebangsaan.

Minat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu sejak di bangku sekolah lagi, itulah dijadikan sebagai pedoman dalam diri untuk menguasai bahasa kebangsaan sekaligus dapat menyemarakkan lagi semangat perpaduan.

Tambahnya lagi, dengan adanya hobi suka membaca buku cerita Bahasa Melayu dan majalah Dewan Siswa serta Dewan Masyarakat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjadikannya lebih optimis dalam menggunakan bahasa berkenaan.

“Guru saya semasa di sekolah memang menggalakkan murid-murid membaca buku cerita, berpantun, malah ada juga menyampaikan sajak dan syair dan membaca majalah Dewan Siswa dan Dewan Masyarakat”

“Pendidikan awal di sekolah kebangsaan membolehkan saya menguasai Bahasa Melayu dengan lebih baik, tambah pula dengan berkat tunjuk ajar daripada cikgu juga membantu saya untuk menyampaikan Bahasa Melayu dengan lebih baik.” 

Hampir dua dekad menjadi penyampai berita di TV3, sudah pastinya pelbagai cabaran ditempuh antaranya perlu berbahasa dengan fasih dengan sebutan dan intonasi yang tepat.

“Ada kalanya akan tersasul atau berlakunya masalah teknikal ketika menyampaikan berita, namun sebagai penyampai berita yang profesional, kita perlu bertindak pantas serta membetulkan kesilapan jika tersasul”.

Pengarang berita yang berasal dari Kuala Lumpur itu juga berkata, sudah tentunya perlu mencari pelapis penyampai berita yang berkemahiran dalam bahasa kebangsaan khususnya bagi penyampai selain berbangsa Melayu.

“Perlu dicari dan diasah bakat agar dapat menampilkan masyarakat yang berbilang kaum di negara ini serta mengukuhkan lagi semangat perpaduan di antara kita semua”

“Amat penting bagi seseorang penyampai berita untuk menguasai sesuatu bahasa yang dianggap sebagai ‘frontliner’ yang berada di depan kaca televisyen dan dengan bahasa yang disampaikan juga boleh mempengaruhi persepsi dan penggunaan bahasa dalam masyarakat yang berbilang kaum di negara ini”.

“Malah, penyampai yang berkebolehan juga perlu menyampaikan berita dengan bersifat ‘conversational’ dan bukannya sekadar membaca skrip yang diberi dan memiliki aura yang boleh menambat hati penonton” katanya.

Sahut cabaran #BacaBeritaChallengeTV3 secara duet bersama Fei di TikTok dan berpeluang memenangi hadiah serta dijemput ke Sri Pentas bagi merasai pengalaman menyampai berita secara profesional. Cara dan syarat penyertaan – KLIK DI SINI

Loading...
Terkini