PASIR GUDANG: Selepas sebulan asyik mendengar tangisan kanak-kanak mangsa dera di Bandar Layangkasa di sini, beberapa orang jiran mengambil keputusan untuk berbincang dengan ibu mangsa dan teman rapatnya seorang wanita berperwatakan lelaki.
Salah seorang jiran, Wan Noor Badri Wan Yahya, 38 memaklumkan mereka hanya mahu mendapatkan jawapan apa yang sebenarnya berlaku dalam rumah berkenaan apabila bunyi tangisan ini didengari, hampir setiap hari.
Bagaimanapun, mereka tidak menyangka selepas melihat keadaan kanak-kanak berusia tujuh tahun itu yang penuh dengan kesan kecederaan dan menyifatkan kes itu sebagai kes dera sebaik menyerbu rumah kanak-kanak itu pada kira-kira jam 12 tengah malam semalam.
“Sejak kanak-kanak itu bersama ibunya dan kenalan yang kami sangkakan ‘suami’ wanita itu berpindah menyewa di rumah berkenaan April lalu, kanak-kanak itu selalu ditinggalkan berseorangan di rumah ketika dua wanita itu pergi kerja yang difahamkan di Singapura.
“Kanak-kanak itu dilihat hanya dibenarkan bermain dalam kawasan pagar rumahnya, sehinggalah pada akhir Jun lalu, kanak-kanak itu terlepas bermain sehingga ke luar kawasan perumahan.
“Sejak itu, kami sering mendengar kanak-kanak itu dimarahi, dipukul dan dimaki hamun. Namun, sejak dua minggu lalu, keadaan semakin teruk kerana kadang-kadang anak itu menangis sehingga tidak bersuara dan ada yang pernah nampak dia dipukul menggunakan rotan,” katanya ketika ditemui di rumahnya yang terletak di hadapan lokasi kejadian di sini, hari ini.
Wan Noor Badri yang sudah tinggal di kawasan itu selama tujuh tahun berkata, keluarga berkenaan tidak banyak bercampur dengan jiran di taman perumahan itu.
Ketika menyerbu rumah itu, Wan Noor Badri berkata, ‘tomboy’ terbabit masih lagi berlagak seperti dirinya seorang lelaki dan memaklumkan dia memarahi kanak-kanak dikenali sebagai Iman itu kerana itu caranya mengajar anak.
“Namun tomboy itu warga asing itu meminta maaf dan memberitahu dia memarahi Iman kerana kanak-kanak itu degil,” katanya.
Artikel berkaitan : Kanak-kanak 7 tahun didakwa jadi mangsa dera ibu kandung & ‘pengkid’
Bapa dua anak itu berkata, jiran di kawasan perumahan itu sememangnya rapat dan mereka yang bersatu dalam Persatuan Penduduk Bandar Layangkasa aktif menerusi aplikasi sembang WhatsApp untuk sentiasa mengambil maklum perihal kejiranan kawasan berkenaan.
“Kami di kawasan ini memang rapat dan selalu bincang pasal keadaan kejiranan kerana mahu kawasan ini selamat dan harmoni.
“Selama ini kami tidak pernah berdepan sebarang masalah seperti ini,” katanya.
Pada masa sama, seorang lagi jiran, Firdaus Abu Hassan, 30, berkata mereka sebagai jiran bersyukur apabila berjaya menyelamatkan kanak-kanak berkenaan daripada terus menjadi mangsa dera.
“Kalau lihat keadaan mangsa, penuh kecederaan di seluruh badan termasuk kaki dan tangan.
Bayangkan kalau kita sebagai jiran tidak bertindak awal kami akan terkilan,” katanya.
Semalam, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki disyaki menjadi mangsa dera kepada dua wanita yang mana seorang daripadanya dipercayai ibu kandungnya.
Kejadian menimpa kanak-kanak itu terbongkar selepas jiran di kawasan perumahan berkenaan menyerbu rumah diduduki dua beranak itu.
Ibu kanak-kanak berkenaan adalah ibu tunggal, manakala kenalannya adalah wanita yang berperwatakan seperti lelaki (tomboy).
Video menunjukkan insiden orang awam menyerbu rumah berkenaan bagi menyelamatkan mangsa tular di media sosial yang turut memaparkan kecederaan agak teruk di bahagian belakang badan kanak-kanak berkenaan.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dilaporkan berkata, ibu kepada kanak-kanak itu yang berusia 27 tahun ditahan reman selama enam hari bermula semalam, manakala kenalannya berusia 30 tahun yang juga seorang warga asing direman selama tujuh hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.