comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Jiran dengar bunyi muzik kuat dari rumah wanita maut ditikam

 

KOTA BHARU: Peniaga menjual air balang yang maut dipercayai ditikam oleh bekas suaminya, baru dua bulan menyewa  di perumahan Taman Desa Darulnaim, Pasir Tumboh, di sini.

Dia disifatkan jiran sebagai seorang peramah, namun tidak mengenali mangsa secara dekat.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, wanita berusia 40-an itu maut disyaki ditikam bekas suaminya berusia 40-an yang juga cedera parah dipercayai menikam perutnya sendiri.

Jiran mangsa yang hanya dikenali sebagai Aini, 40, berkata mangsa menyewa di perumahan itu bersama anak saudara perempuan.

“Mangsa seorang yang peramah, sering menegur jika saya melalui hadapan rumah sewanya, namun saya tidak sempat berkenalan dengannya berikutan wanita itu menjual air balang dari pagi hingga petang dan saya juga bekerja dengan orang.

“Namun, saya terkejut apabila mengetahui mangsa maut dipercayai ditikam bekas suaminya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Aini berkata, sebelum kejadian, dia dan beberapa jiran ada terdengar bunyi muzik yang kuat datang dari rumah itu.

“Saya tidak sangka kejadian itu berlaku di sini selepas tinggal di lokasi ini sejak 19 tahun yang lalu,” katanya.

Seorang jiran yang hanya mahu dikenali sebagai Jah, 60-an berkata dia mengetahui kejadian selepas melihat polis dan banyak kereta di hadapan rumah itu.

“Selepas beberapa minit, saya lihat polis angkat mayat dalam plastik hitam dan barulah saya mengetahui mengenai kes wanita meninggal disyaki ditikam,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang wanita maut dipercayai ditikam bekas suaminya di Taman Desa, Pasir Tumboh, di sini.

Mangsa yang berusia lingkungan 40-an, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala bekas suami mangsa yang parah di perut dan dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Loading...
Terkini