comscore
Tumpuan :
Nasional

Jiran curiga, tak nampak kelibat suspek selepas kehilangan Sabari

Sukeri bersama isteri yang merupakan jiran kepada Sabari. -FOTO: NSTP

BALING: “Saya curiga kerana selepas kehilangan Sabari, saya tak nampak suspek datang tinjau kerja pembinaan rumah, hanya pekerjanya yang datang,” kata Mohd Sukeri Karim, 61.

Mohd Sukeri berkata, dia mengenali suspek yang ditahan polis bagi membantu siasatan kehilangan pesara pegawai kewangan FELCRA itu kerana dia adalah kontraktor yang membina rumah anak saudaranya.

Katanya, lelaki berkenaan pernah datang ke rumahnya beberapa tahun lalu, bersama anak saudaranya untuk perbincangan ketika awal pembinaan rumah yang terletak kira-kira 300 meter dari rumahnya.

“Saya pelik kerana selepas mendapat berita kehilangan Sabari, saya juga tak nampak lagi kelibat lelaki itu di tapak pembinaan rumah, hanya pekerja yang datang.

“Sebagai jiran kami selalu mengambil berat antara satu sama lain. Sabari akan datang ke rumah jika tak nampak saya ke masjid, malah dia juga akan maklumkan saya jika mahu meninggalkan rumah sama ada ke rumah anak atau isterinya di Kuala Lumpur,” katanya yang juga pesara kerajaan.

Mohd Sukeri berkata, dia turut mengharapkan jasad jirannya itu ditemui segera dan dapat disemadikan secara sempurna.

Sementara itu, Imam Masjid al-Mutmainnah Kampung Mengkuang, Saidin Husain, 65, berkata pihaknya mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin selepas mengetahui kejadian yang menimpa Sabari.

“Masjid akan adakan solat hajat dan tahlil. Sekiranya jasadnya ditemui kami bersedia untuk membantu untuk menguruskan jenazahnya.

“Kita akan bantu keluarga arwah uruskan apa yang diperlukan, semoga usaha pencarian jasad arwah dipermudahkan Allah,” katanya.

Katanya, Sabari disifatkan sebagai orang baik dan rajin solat berjemaah lima waktu di masjid serta sering membaca Al-Quran.

Sabari disahkan polis dicampak ke dalam Sungai Padang Terap di Jitra, dengan tangan diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat.

Maklumat itu diperoleh polis hasil pengakuan dua lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun yang ditahan Jumaat lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini