KUALA LUMPUR: Empat anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields ditangkap dipercayai kerana mengambil ketum di sebuah rumah di Taman Tan Yew Lai.
Penahanan itu susulan serbuan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman (JIPS) ke sebuah rumah di Jalan 9B, Off Batu 6 Jalan Puchong pada jam 2.15 pagi Khamis lalu, sebelum menahan mereka.
Anggota polis berusia antara 25 hingga 50 tahun itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid ketika dihubungi mengesahkan penahanan keempat-empat suspek.
“Mereka telah ditahan untuk membantu siasatan polis,” katanya tanpa mengulas lanjut.
Difahamkan, keempat-empat individu terbabit mungkin menghadapi tindakan disiplin daripada JIPS atau penggantungan tugas jika terbukti bersalah.