comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] JIPS siasat anggota polis selepas jumpa angpau dalam loker

 

KUALA LUMPUR: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) sedang menjalankan siasatan lanjut ke atas seorang anggota polis yang dikesan menyimpan beberapa sampul ‘angpau’ mengandungi wang tunai yang diragui sumbernya dalam pemeriksaan di sebuah balai polis di ibu kota, Isnin lalu.

Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad mengesahkan perkara itu semalam dan memaklumkan satu kertas siasatan tatatertib dibuka terhadap anggota terbabit.

Tanpa mendedahkan jumlah wang yang ditemui, Azri berkata, siasatan selepas ini menjurus untuk memastikan bagaimana wang sebanyak itu boleh berada di dalam simpanan anggota polis terbabit kerana ia jelas melanggar peraturan tugas.

“Wang itu ditemui ketika pasukan JIPS Bukit Aman melakukan pemeriksaan rawak di balai polis terbabit dan menemui beberapa ‘angpau’ dan wang tunai dalam simpanan anggota polis berkenaan,

“Apabila sejumlah wang ini ditemui, kita perlu pastikan dengan lebih lanjut sama ada wang ini benar-benar miliknya. Apabila ada sampul ‘angpau’ itu juga menjadi tanda tanya.. adakah dia ada menerima ‘angpau’ daripada sesiapa, kerana itu tidak dibenarkan.

“Maka kita perlu bertanya sama ada dia diberi ‘angpau’ ini, siapa yang memberinya. Maka dia perlu menjawab semua persoalan ini ketika siasatan dalaman nanti untuk kita memastikan berlaku salah laku atau sebaliknya,” katanya.

Azri berkata, mengikut prosedur operasi standard untuk anggota yang bertugas di lapangan atau operasi luar seperti sekatan jalankan raya, hanya dibenarkan membawa wang sebanyak RM100.

“Jika bawa wang lebih daripada itu (RM100), anggota perlu mengisytiharkannya kepada penyelia. Namun dalam kes ini, wang itu ditemui dalam lokernya, maka perkara itu perlu disiasat lebih lanjut,” katanya.

Terdahulu, tular satu laporan berhubung pemeriksaan JIPS di sebuah balai polis di ibu kota, Isnin lalu dan pada pemeriksaan di loker anggota terbabit, pihak JIPS menemui satu beg pinggang mengandungi beberapa sampul ‘angpau’ serta wang tunai berjumlah RM4,239.

Pemeriksaan lanjut pada beg pinggang dipakai anggota itu turut menemui beberapa sampul ‘angpau’ mengandungi wang tunai berjumlah RM2,050 dengan keseluruhan wang tunai ditemui sebanyak RM6,289.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini