Tumpuan :
Nasional

JIM tumpaskan sindiket seludup PATI di Rantau Panjang

KUALA LUMPUR: Mensasarkan warga asing yang sudah disenarai hitam dan ingin memasuki Malaysia dengan mengenakan bayaran RM3,000 hingga RM6,000 seorang mengikut warganegara melalui pangkalan haram di Rantau Panjang, Kelantan sebelum dihantar ke sekitar Lembah Klang dengan menggunakan van pelancong Thailand.

Itu modus operandi sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati) dipercayai didalangi seorang lelaki warga Thailand yang tumpas selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melakukan operasi khas di sekitar Rantau Panjang, kelmarin.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya turut menahan seramai 47 warga asing termasuk dua lelaki warga tempatan dalam operasi bermula jam 9 malam itu.

Menurutnya, operasi membabitkan Pasukan Taktikal Khas Imigresen (PASTAK), Bahagian Perisikan dan Operasi KhasIbu Pejabat Imigresen Putrajaya bersama Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kelantan.

Katanya, berdasarkan maklumat dan risikan selama dua minggu pasukan operasi diatur gerak ke lokasi, mengesan sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan yang dilihat berulang alik mengangkut penumpang dari pangkalan haram ke lokasi van sedang menunggu penumpang.

“Pasukan operasi telah mengepung lokasi dan berjaya menahan van dan motosikal berkenaan. Seorang lelaki warga Thailand dipercayai ‘dalang utama’, seorang lelaki warga Thailand yang dipercayai sebagai ‘transporter’ dan dua lelaki warga Malaysia serta empat lelaki warga Thailand dipercayai ‘ahli sindiket’ berusia antara 34 hingga 67 tahun ditahan.

“Hasil permeriksaan lanjut terhadap semua kenderaan, pasukan operasi turut menahan 13 lelaki dan 22 perempuan warga Indonesia, dua lelaki warga Thailand, seorang lelaki warga Myanmar dan seorang perempuan warga Thailand berusia antara 20 hingga 58 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas 39 pasport terdiri daripada 35 pasport Indonesia dan empat pasport Thailand, daa naskhah pas sempadan, tujuh unit telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM6,510, Rupiah Indonesia 706,000 dan Singapore Dolar 11.

“Turut disita enam buah kenderaan terdiri daripada empat van Komuter Thailand, sebuah Naza Ria dan sebuah motosikal jenis Honda Wave yang dipercayai digunakan untuk mengangkut Pati.

“Modus operandi sindiket adalah mensasarkan warganegara asing yang disenarai hitam dan ingin memasuki Malaysia. Pati akan dibawa masuk ke Malaysia melalui pangkalan haram di Rantau Panjang ke destinasi di sekitar Lembah Klang menggunakan van pelancong Thailand. Sindiket ity dipercayai sudah beroperasi selama dua bulan.

Katanya, dua lelaki tempatan dan enam lelaki warga Thailand disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdangan Orang dan Antipenyelupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Manakala warga asing yang lain ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63. Semua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini