Tumpuan :
Nasional

JIM tahan 76 PATI atas pelbagai kesalahan

Seramai 374 warganegara asing telah diperiksa 76 orang PATI berusia antara 20 hingga 55 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan dalam serbuan itu. – FOTO: Ihsan JIM

KUALA LUMPUR: Seramai 76 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu serbuan awal pagi semalam.

Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban memaklumkan serbuan dilakukan di penempatan pekerja warga asing di Shah Alam dan Kajang.

Katanya, operasi itu melibatkan kekuatan 113 pegawai daripada Bahagian Penguatkuasaan, Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, serta Bahagian Pengurusan Depot dan Tahanan dari Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Seramai 374 warganegara asing telah diperiksa dalam operasi ini, dan hasilnya, seramai 76 orang PATI yang berumur antara 20 hingga 55 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan,” katanya.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata mereka yang ditahan terdiri daripada warganegara Bangladesh, Nepal, Myanmar, Indonesia, Pakistan, dan India.

“Operasi ini dijalankan selepas pihak berkuasa menerima aduan awam mengenai kehadiran PATI yang dipercayai tinggal di kawasan penempatan tersebut tanpa dokumen yang sah.

“Antara kesalahan yang dikenalpasti termasuklah tiada dokumen pengenalan diri yang sah, tinggal lebih masa di bawah Akta Imigresen 1959/63, dan Akta Pasport 1966,” jelasnya.

Tambahya, kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Pekan Nenas, Johor, untuk siasatan lanjut.

Ujar Zakaria, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini