Tumpuan :
Nasional

JIM tahan 28 pendatang di sekitar Gua Musang

Beberapa pendatang tanpa izin ditahan Jabatan Imigresen Kelantan di sekitar Gua Musang sepanjang dua hari lalu. – FOTO: Ihsan Jabatan Imigresen

GUA MUSANG: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menahan 28 pendatang asing tanpa izin dalam operasi penguatkuasaaan di sekitar daerah ini sepanjang dua hari lalu.

Timbalan Pengarah Imigresen Kelantan (Pengurusan), Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata, operasi terbabit dijalankan selama dua hari yang berakhir semalam.

Katanya, daripada 28 yang ditahan itu, tujuh lelaki dikenalpasti warga Bangladesh, 18 (Indonesia) dan tiga warga Myanmar dengan semua berusia linkungan umur antara 19 hingga 50 tahun.

“Operasi yang dijalankan pada jam 2 petang itu membabitkan 20 pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Penguatkuasaan JIM Negeri Kelantan.

“Bertindak atas hasil risikan daripada Bahagian Penguatkuasa, JIM Kelantan, kami berjaya membuat pemeriksaan terhadap warga asing di sekitar daerah ini antaranya Kampung Jerek Bertam, Ladang Blau dan Meranto,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Nik Akhtarulhaq berkata, semua warga asing ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut kerana disyaki dengan munasabah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau menggesa orang ramai supaya tampil menyalurkan maklumat tentang pendatang tanpa izi atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini