Tumpuan :
Nasional

JIM tahan 10 warga asing, rampas wang tunai lebih RM3.62 juta

FOTO: Ihsan JIM

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia menahan 10 warga asing dan merampas wang tunai lebih RM3.62 juta dalam serbuan di premis yang dipercayai sindiket perniagaan pengiriman wang haram di sekitar Klang dan Brickfields, semalam.

Turut dirampas mata wang asing berjumlah Euro 1,400 dan Yuan 10,000 selain barangan perhiasan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi khas yang bermula pada 3.45 petang itu dilakukan pihaknya dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) dan turut dibantu pegawai CyberSecurity Malaysia.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awam dan risikan dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi diatur gerak ke tiga lokasi premis perniagaan di Klang dan berjaya menahan seorang lelaki warga India dipercayai sebagai dalang utama’, dua lelaki warga India dan dua wanita warga Indonesia.

“Dalam satu lagi serbuan di sebuah premis kediaman sekitar Brickfields yang dipercayai menjadi pusat pengumpulan hasil pengendali perniagaan pengiriman wang haram, pasukan operasi berjaya menahan seorang lelaki warga India yang dipercayai sebagai ahli sindiket bersama empat lagi lelaki warga India.

“Mereka ditahan berusia antara 21 hingga 57 tahun. Semakan awal mendapati tiga lelaki warga India menyalahgunakan pas, dua lelaki warga India tinggal melebihi masa, manakala tiga lagi lelaki warga India dan dua wanita Indonesia tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Zakaria berkata, pemeriksaan terhadap semua premis berkenaan membawa kepada rampasan wang tunai berjumlah RM3.62 juta serta mata wang asing bernilai Euro 1,400 dan Yuan 10,000.

“Turut dirampas barangan perhiasan dipercayai emas yang disyaki hasil aktiviti pengiriman wang haram. Modus operandi sindiket menawarkan perkhidmatan pengiriman wang tanpa lesen yang sah dan mensasarkan pelanggan warga Indonesia dan India,” katanya.

Katanya, sindiket itu menjalankan kegiatan mereka di sebalik kedai runcit dan kedai makan untuk mengaburi pihak berkuasa serta sudah beroperasi selama setahun.

“Sindiket itu dipercayai menerima RM15,000 hingga RM60,000 sehari dan boleh mencecah sehingga RM110,000 pada musim perayaan. Wang itu akan dihantar ke luar negara terutama Indonesia dan India.

“Sindiket berkenaan dipercayai menggunakan barangan kemas yang dibawa ke luar negara sebagai proses penghantaran kiriman wang haram itu tanpa melalui sistem perbankan atau syarikat kewangan rasmi,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39(b) Peraturan peraturan Imigresen 1963.

“Warga asing itu juga akan disiasat oleh pihak BNM kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1) Akta Perkhidmatan Perniagaan Wang 2011 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.

“Mereka yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini