SERDANG: Jabatan Imigresen Selangor menumpaskan satu sindiket pelacuran dalam serbuan ke atas premis di Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan, di sini, semalam.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, serbuan yang dibantu Bahagian Penguat Kuasa Shah Alam dan Pelabuhan itu dilancarkan jam 10 malam.
“Operasi ini hasil maklumat awam dan risikan dua minggu, menahan enam wanita Vietnam, dua wanita Indonesia dan dua wanita Thailand disyaki pelacur.
“Selain itu, kami menahan tiga lelaki warga India yang mahu mendapatkan khidmat seks di premis berkenaan. Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 21 hingga 35 tahun.
“Kami turut menahan dua lelaki tempatan, masing-masing berusia 60 dan 45 tahun kerana disyaki bekerja sebagai penjaga premis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Khairrul Aminus berkata, pihaknya merampas kamera litar tertutup (CCTV) dan pelbagai barangan lain yang disyaki digunakan untuk aktiviti pelacuran.
“Modus operandi sindiket adalah menyediakan perkhidmatan pelacuran kepada pelanggan terdiri warga asing dari sekitar kawasan terbabit.
“Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigersen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Dua lelaki tempatan yang disyaki berperanan sebagai ‘bapa ayam’ dan pelindung pula ditahan di lokap Balai Polis Pandamaran, Klang untuk siasatan lanjut,” katanya.
Beliau mengingatkan orang ramai bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.