comscore
Tumpuan :
Nasional

JIM selamatkan buruh kasar berusia 12 tahun

Kanak-kanak 12 tahun yang diselamatkan dalam Ops Kutip di Pasar Borong Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Buruh kasar berusia 12 tahun diselamatkan dalam Ops Kutip di Pasar Borong Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Ketika ditemukan, kanak-kanak lelaki yang tidak mampu bertutur dalam Bahasa Melayu itu bekerja memunggah barangan seperti sayuran dan ikan ke dalam sebuah lori.

Kanak-kanak lelaki berbangsa India itu bagaimanapun mampu bertutur dalam Bahasa Tamil dan mengakui masuk ke Malaysia melalui jalan darat, dua bulan lalu.

Mangsa dipercayai ‘tersesat’ ribuan kilometer daripada keluarganya di Myanmar demi mencari rezeki di Malaysia, malah kanak-kanak itu percaya yang kemasukannya mengikut jalan darat adalah sah.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur mendapati tiada sebarang dokumen perjalanan ditemukan padanya.

Menurutnya, dia masuk melalui utara tanah air menerusi sempadan Thailand selepas membayar kira-kira 4 juta Kyat atau kira-kira RM9,000 kepada seorang ejen yang berjanji menyediakan segala dokumen perjalanan untuk dirinya bekerja.

“Saya kerja di sini sejak dua bulan lalu. Ikut lori, susun barang sayur dan lain-lain ke dalam lori dan dapat upah RM40 sehari.

“Di kampung, ibu bapa hanya bekerja menternak kambing untuk menyara kami dua beradik. Saya anak sulung dan ada seorang adik perempuan,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan di sini awal pagi tadi.

Katanya, dia tinggal di kawasan berhampiran dan mula bekerja 12 tengah malam sehingga 6 pagi, malah mangsa mengakui bercadang untuk terus menetap di Malaysia.

Sementara itu, Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, kanak-kanak itu antara 38 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan dalam operasi berkenaan.

Katanya, kanak-kanak berkenaan akan dibawa ke pejabat JIM Kuala Lumpur untuk dibuat semakan rekod dan akan diserahkan kepada pihak berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini