comscore
Tumpuan :
Nasional

JIM Perak serbu karaoke haram, 39 warga Myanmar termasuk GRO ditahan 

Oleh: Kumaran Rajamoney

IPOH: Jabatan Imigresen (JIM) Perak menahan 39 warga asing dalam dua serbuan yang dijalankan serentak di sini, malam tadi.

Serbuan dilakukan di premis yang dijadikan sebagai pusat hiburan karaoke yang dikhususkan kepada warga Myanmar serta menawarkan khidmat pelayan pelanggan (GRO).

Pengarah Imigresen Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik menjelaskan pusat karaoke itu sudah beroperasi selama enam bulan dan dilengkapi sistem semakan terhadap pelanggan.

Serbuan di Bandaraya Ipoh katanya melibatkan dua unit premis, menemui 18 lelaki dan 15 perempuan, manakala sebuah premis di Lahat melibatkan dua lelaki dan empat wanita.

“Mereka ini menggunakan platform media sosial untuk mempromosikan aktiviti di premis ini. Jadi tawaran khusus dibuat kepada pelanggan lelaki dari Myanmar sahaja. GRO juga adalah dalam kalangan warga Myanmar.

“Ini adalah kes pertama seumpamanya yang kita kesan di negeri Perak dimana perkhidmatan dikhususkan kepada pelanggan dari negara tertentu. Tapisan dibuat secara berperingkat terhadap pelanggan termasuk menerusi rakaman CCTV di pintu masuk premis,” katanya.

Setiap bilik karaoke dikenakan bayaran diantara RM450 hingga RM600 bagi satu sesi, dilengkapi perkhidmatan minuman keras, serta layanan dari GRO.

“Kita tidak menolak wujud unsur pelacuran, dimana pelanggan ini boleh melakukan tawar menawar dengan wanita GRO. Bagaimanapun kita percaya aktiviti pelacuran tidak dilakukan didalam premis ini.

“Siasatan awal mendapati semua wanita GRO ini tidak memiliki dokumen pengenalan diri. Kita percaya ia ada pada dalang yang membawa mereka masuk. Kita akan buat siasatan lanjut,” katanya.

Meor Hezbullah menjelaskan kesemua tahanan yang berusia lingkungan 19 hingga 35 tahun itu akan dibawa ke Depot Imigresen di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Meru, di sini.

Siasatan katanya akan dijalankan mengikut Seskyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah dan Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini