
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan dakwaan berlaku penderaan tahanan di depot tahanan imigresen di Selangor seperti tular dalam satu saluran telegram.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata semakan peringkat dalaman di depot tahanan imigresen mengesahkan tiada rekod kejadian seperti yang didakwa itu.
“Kesemua tahanan diuruskan dengan baik mengikut tatacara yang berkuat kuasa.
“Sekiranya ada pelanggaran disiplin oleh tahanan, ia akan dilaksanakan mengikut tatacara iaitu setelah disahkan kesalahan oleh komandan melalui suatu siasatan, tindakan mengikut Peraturan-peraturan Imigresen Pengurusan Depot 2003,” katanya dalam kenyataan.
Zakaria berkata, kawasan depot turut dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan tiada pergerakan mencurigakan dikesan.
“Manakala berkenaan kemasukan pelarian pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) ketika ini, ia dibenarkan dengan kelulusan daripada Ibu Pejabat JIM.
“Orang ramai (yang mempunyai aduan) dimohon menyalurkan maklumat yang spesifik melalui saluran aduan rasmi jabatan untuk kami jalankan siasatan dan tindakan,” katanya.
Beliau berkata, JIM tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai yang melakukan salah laku.
Terdahulu, tular dakwaan berlaku penderaan di Depot Imigresen Selangor oleh pegawai JIM di telegram Edisi Siasat.
Ia selepas seorang individu mendakwa adiknya bekerja sebagai pegawai JIM di depot itu dan menyaksikan kejadian penderaan terbabit.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.