Oleh: Zahir Senapiah
JOHOR BAHRU: Seramai 35 penjaja warga asing dicekup pegawai Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor dalam satu operasi di tapak karnival makanan, padang Angsana Mall, di sini, Sabtu lalu.
Mereka ditahan sepasukan penguatkuasa JIM yang bertindak menyerbu 52 gerai yang menjual pelbagai produk di festival itu pada jam 8.30 malam.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus dalam satu kenyataan berkata, tindakan diambil susulan aduan orang ramai yang mendakwa ramai warga asing menjalankan perniagaan di festival berkenaan tidak mempunyai permit dan menyalahgunakan pas lawatan sosial.
“Dalam operasi itu seramai 102 warga asing dan tempatan telah diperiksa. Ada yang bertindak melarikan diri namun berjaya ditahan pegawai JIM,” katanya.
Jelasnya, semua yang ditahan membabitkan 20 lelaki dan enam wanita warga Thailand, lapan lelaki dan seorang warga Indonesia yang berumur 19 hingga 55 tahun.
Hasil siasatan awal mendapati semua warga asing yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan mengikut peraturan 11 (7) (a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Mereka juga disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 55) kerana tidak memiliki sebarang permit untuk berada di negara ini dan seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 55) kerana tinggal lebih masa.
Sebanyak lima notis dikeluarkan terhadap beberapa individu dipercayai pemilik gerai yang menggaji pekerja asing berkenaan dan mereka diminta hadir ke pejabat Imigresen bagi membantu siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.