comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Jika betul anak saya lemas, semoga jasadnya timbul..’

Orang awam membantu mencari Muhammad Danish Mohd Faizal. – FOTO: NSTP

MELAKA: Operasi mencari dan menyelamat kanak-kanak berusia 2 tahun, Muhammad Danish Mohd Faizal yang dikhuatiri terjatuh dalam parit di tepi Jalan Bukit Baru, Taman Goodwood petang semalam, disambung pagi ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Penguasa Bomba, Zulkhairani Ramli berkata, pihaknya turut membuka Pusat Kawalan Bomba di lokasi.

Setakat jam 11.30 malam tadi, pencarian dilakukan oleh puluhan orang awam sehingga ke Kampung Pulau Kelapa, selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) di air dihentikan sementara oleh pasukan bomba pada jam 8 malam.

Menurut ibu kanak-kanak itu, Nor Amiza Che Kar, 28, kehilangan Muhammad Danish disedarinya jam 3.30 petang ketika sedang membungkus nasi kerabu pelanggan dalam keadaan hujan lebat.

Nor Amiza berkata, sebelum kejadian, dia memerhatikan Muhammad Danish dan kakaknya yang berusia empat tahun bermain hujan di tepi gerai jualannya, sebelum menyuruh mereka masuk dalam kereta untuk menukar pakaian.

“Saya perhatikan kedua-dua anak selamat melangkah longkang dan masuk ke dalam kereta sebelum muncul seorang pelanggan membeli 10 bungkus nasi kerabu.

“Selepas saya dan suami, Mohd Faizal Maarop, 38, selesai membungkus nasi kerabu ditempah, saya menoleh ke belakang dan melihat anak perempuan turun dari kereta, namun Muhammad Danish tidak kelihatan.

“Bila saya tanya, dia tidak tahu di mana adiknya menyebabkan saya dan suami terkejut dan segera mencari di sekitar namun tidak menjumpainya,” katanya  sebak.

Menurut Nor Amiza yang berasal dari Pengkalan Chepa, Kelantan, dia dan suaminya kemudian mencari anak mereka di longkang di hadapan gerainya, selepas terpandang selipar Muhammad Danish di atas rumput berhampiran.

“Suami turut meranduk dan menyelam di dalam longkang itu yang dipenuhi air dan berarus deras, namun gagal menemui anak kami.

“Kami kemudian membuat laporan di Balai Polis Bukit Baru dan anggota bertugas turut membantu menghubungi bomba.

“Sudah tiga tahun kami berniaga nasi kerabu dan tidak menyangka diuji sebegini.  Jika betul anak saya lemas, semoga jasadnya timbul, jika diambil orang, tolonglah pulangkan,” katanya.

Nur Amiza berkata, ketika kejadian, anak ketiga daripada empat beradik itu memakai baju-T berwarna biru dan berseluar putih biru.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini