KUALA LUMPUR: Walaupun sedang diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dipercayai masih boleh ‘ke mana-mana saja’ disebabkan pengaruh politik dan kekayaan dimilikinya.
Pakar kriminologi dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Zalmizy Hussin, berpandangan ahli perniagaan itu mempunyai banyak pengaruh politik di negara-negara tertentu, selain turut dikaitkan dengan individu berpengaruh di serata dunia.
Justeru, beliau berkata, Jho Low dilihat mampu bergerak ke pelbagai tempat tanpa sekatan, malah seolah-olah sukar ditangkap dan diserahkan kepada Kerajaan Malaysia untuk tindakan undang-undang.
“Secara peribadi, saya melihat dia sebagai seorang yang ada sangat banyak duit serta mampu membayar sesiapa saja untuk masuk ke negara tertentu, termasuk membeli kewarganegaraan.
“Antara sebab dia sukar ‘dilepaskan’ (ditahan dan diserahkan kepada pihak berkuasa Malaysia) ialah pengaruhnya di negara-negara tertentu, termasuk dikaitkan dengan individu berpengaruh. Dia boleh mendapatkan kewarganegaraan dengan hanya membayar sindiket untuk memperoleh identiti baharu.
“Oleh itu, saya juga berpandangan tidak mudah untuk pihak penguat kuasa kita mengesan kedudukan sebenar Jho Low,” katanya kepada Berita Harian, di sini.
Beliau diminta mengulas dakwaan wartawan yang juga penulis bersama buku ‘Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood and the World’, Bradley Hope, bahawa Jho Low masih berada di China.
Sebelum ini, Hope bersama seorang lagi penulis buku terbabit, Tom Wright, mendakwa Jho Low dikesan di Disneyland Shanghai berdasarkan maklumat yang dikatakan diterima daripada sumber Kerajaan Malaysia.
Hope dipetik sebagai mendakwa, maklumat terkini keberadaan Jho Low di Macau itu adalah berdasarkan maklumat dan beberapa foto diterimanya. Foto dipercayai Jho Low dan beberapa pembantunya itu didakwa diberikan penyiasat persendirian, yang memaparkan lelaki memakai baju berwarna jingga dan berseluar pendek tetapi membelakangi kamera.
Bagaimanapun, Zalmizy berpendapat, kesahihan keberadaan Jho Low seperti yang didakwa itu dikhuatiri sekadar propaganda untuk menaikkan ‘rating’ pihak tertentu.
“Benar atau tidak, ia bergantung pada beberapa perkara, terutama siasatan rapi oleh pihak berkuasa negara. Ini kerana seperti diketahui, terdapat khabar angin mendakwa lelaki itu sudah melakukan pembedahan wajah, justeru perlu ada siasatan untuk menentukan kesahihan laporan itu.
“Saya juga berpandangan, jika benar seperti yang dilaporkan, apa motif pendedahan itu dibuat dalam media sosial. Ia juga tidak boleh hanya bersandarkan gambar, dan dakwaan itu tidak kukuh,” katanya.
Namun, beliau berkata, pihak berkuasa Malaysia harus kekal menjalankan siasatan lanjut memandangkan isu Jho Low membabitkan kepentingan negara.