KUALA TERENGGANU: Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mengesahkan penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus antara pendakwah yang tidak mempunyai tauliah untuk berceramah dan mengadakan kuliah di negeri itu.
JHEAT sehingga November lalu, memberi kebenaran khas hanya kepada 30 pendakwah selebriti tetapi tidak termasuk Ustaz Azhar.
Difahamkan, Ustaz Azhar sudah dipanggil tiga kali oleh JHEAT untuk menjalani proses temuduga pemegang tauliah.
Pesuruhjaya JHEAT, M Rozi Bidin berkata, keseluruhan 1,313 individu mempunyai tauliah untuk berceramah agama, mengajar agama Islam dan mengajar al-Quran.
Dari jumlah itu 773 individu mengajar agama Islam kategori berkitab, berceramah umum kategori agama.
Manakala 83 diberi tauliah dalam kategori agama Islam berkitab, ceramah umum dan al-Quran.
Jelasnya lagi setakat ini pihak JHEAT telah mengambil tindakan ke atas 2 individu iaitu dengan menarik tauliah penceramah dan seorang lagi digantung tauliah.
Dalam pada itu pihak JHEAT amat mengalu-alukan individu yang berkelayakan membuat permohonan untuk mendapatkan tauliah.
“Kita bukan bermaksud mempertikaikan atau menguji keilmuan individu tetapi kita mahu masing masing memahami peraturan kerana peraturan memastikan setiap pengajar yang mengajar disurau dan masjid mempunyai tauliah bagi memastikan setiap pengajaran yang diberi bertepatan dengan agama kita yang suci”.
Jumaat lalu, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail dilaporkan berkata, semua ahli politik termasuk Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Anggota Dewan Negara tidak dibenar menggunakan masjid serta surau di seluruh Terengganu sebagai pentas kuliah atau ceramah.
Katanya, larangan itu bertujuan memastikan masjid dan surau tidak disalah guna, selain mengelak pengisiannya bercampur aduk dengan unsur politik kepartian.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut menzahirkan rasa dukacita atas pembabitan segelintir ahli politik itu yang mengadakan ceramah, pengajian agama di masjid dan surau serta bertindak sebagai khatib dan imam solat Jumaat di masjid tanpa kebenaran pihaknya.