Tumpuan :
Nasional

JHEAT cekup empat penjaja ponteng solat Jumaat

SETIU: Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menahan empat penjaja dalam operasi di daerah ini semalam kerana ponteng solat Jumaat.

Turut ditahan termasuklah dua beranak yang memberi alasan mahu menjaga gerai jualan buah anggur mereka di Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu, dekat Sungai Tong, di sini, semalam.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan JHEAT, Aizi Saidi Abd Aziz berkata, empat lelaki berusia antara 17 hingga 54 tahun itu ditahan selepas pemantauan dilakukan anggota penguat kuasa syariah wanita bermula jam 1.30 tengah hari sehingga selesai tempoh waktu solat.

Beliau berkata, tangkapan dibuat kira-kira jam 2 petang selepas mendapati mereka tidak ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.

“Mereka yang ditahan dibawa ke Pejabat Agama Daerah Setiu untuk tindakan lanjut sebelum dibebaskan dengan bon jamin hadir ke mahkamah,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3 di sini hari ini.

Kata Aizi Saidi mereka ditahan di bawah Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 (pindaan 2016).

Katanya, bagi kesalahan itu, mana-mana lelaki yang mukalaf tidak menunaikan sembahyang Jumaat di masjid kecuali terdapat keadaan yang dibenarkan oleh hukum syarak adalah melakukan satu kesalahan.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini