comscore
Tumpuan :
Nasional

Jerut kucing, Persatuan Haiwan Malaysia tuntut pelaku dikenakan tindakan tegas

KUALA LUMPUR: Persatuan Haiwan Malaysia menuntut pihak berkuasa mengenakan tindakan tegas terhadap pelaku yang menjerut kucing sehingga mati, yang  ditemui tergantung dengan dawai di tingkap sebuah rumah di Persiaran Intan di Hulu Langat, Jumaat lalu, kerana ia jenayah berat.

Presidennya, Arie Dwi Andika berkata, kejadian dipercayai dilakukan individu warga asing yang tinggal di kawasan perumahan sama.

“Kejadian itu disedari berlaku pada 10 pagi, Jumaat lalu, oleh penduduk kawasan berkenaan. Saksi mengesyaki perlakuan tidak berperikemanusiaan itu dilakukan oleh seorang penghuni rumah (di kawasan itu) yang berstatus warga asing,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Justeru katanya, beliau menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan lanjut terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam kejadian itu selaras Akta Kebajikan Haiwan 2015, susulan satu laporan polis dibuat di Balai Polis Batu 9 Cheras, kelmarin.

“Kita ada Akta Kebajikan Haiwan 2015, jadi saya harap ia dapat diambil tindakan sewajarnya. Jenayah terhadap haiwan juga adalah satu jenayah berat yang ada peruntukan dalam undang-undang mengikut akta berkenaan.

“Kita berharap tiada toleransi serta pihak berkuasa tidak mengambil ringan terhadap jenayah haiwan biarpun haiwan jalanan kerana ia dibimbangi akan menjadi trend,” katanya.

Katanya, orang ramai juga diminta untuk lebih prihatin dengan haiwan jalanan dan sekiranya berhadapan kes seumpama itu, mereka perlu melaporkannya kepada pihak berkuasa bersama bukti lengkap supaya tindakan dapat diambil.

“Kami menerima banyak aduan terutama penderaan haiwan. Boleh dikatakan menerima purata 10 aduan setiap bulan berkenaan penderaan anjing dan kucing yang berlaku di seluruh negara.

“Kebanyakan saksi mahu melaporkan kejadian itu tetapi takut memberi maklumat terperinci atas alasan bimbang identiti mereka didedahkan. Nasihat saya jangan takut dan laporkan kejadian itu untuk kebajikan haiwan,” katanya.

Loading...
Terkini