Tumpuan :
Nasional

Jering rebus dapat permintaan tinggi di hari raya

Satu periuk jering rebus yang disediakan Pok Ali mengandungi kira-kira 4,000 ulas jering.

Oleh Mohd Ishak Abdillah Ngah

KUALA TERENGGANU: Setiap kali Aidilfitri, juadah seperti kek dan kuih moden pasti menjadi hidangan di meja makan.

Namun berbeza di Terengganu, hidangan jering rebus turut mendapat perhatian.

Menurut peniaga jering rebus Ali Ismail atau Pok Ali , 61 tahun, jualan jering rebus mendapat sambutan luar biasa.

“Setiap kali hari raya permintaan jering rebus di gerai turut meningkat,” katanya.

Pok Ali yang menjual juadah itu di Kampung Bukit Besar, Kuala Terengganu sejak 6 tahun lalu berkata pada hari biasa dia dapat menjual dua periuk jering rebus yang mengandungi 8,000 ulas jering.

Namun bila tiba hari raya empat periuk jering rebus habis dijual.

Katanya dia mendapat bekalan jering mentah dari Perak, Kedah dan Thailand yang dibeli dengan harga RM80 hingga RM100 sebakul yang mengandungi 1,000 ulas.

Pok Ali masih menggunakan kayu api bagi proses merebus jering.

Pok Ali mengambil masa merebus jering selama 24 jam.

Jelasnya jering rebus akan menjadi lebih sedap sekiranya direbus lebih lama dengan menggunakan kayu api.

Pok Ali menjual jering rebus dengan harga RM5 sebekas.

Kebanyakan pelanggannya adalah perantau yang pulang ke Terengganu selain daripada pelanggan tetap.

Jering rebusnya dijual dengan harga RM5 sebekas bersama kelapa parut.

Bagi Humil Husin Abdullah dari Kuala Terengganu, hidangan jering rebus bersama kelapa parut satu kemestian di hari raya.

Tambahnya ianya juga salah satu cara memperkenalkan makanan orang ‘dulu-dulu’ kepada generasi baharu.

“Kalau musim perayaan ini kita ada tempahlah sebab di kawasan sini ada sumber jering, ada tempat jering rebus, ada jual hari-hari dan musim perayaan kita tempah jadi saudara dari luar boleh rasa hidangan tradisional Terengganu.”

Bagi penggemar jering selain direbus jering juga boleh disira, masak lemak, dibuat pengat atau dijadikan ulam.

Loading...
Terkini